Tuesday, February 9, 2010

P1 lancar netbook pertama

PETALING JAYA 9 Feb 2010 – Setelah hampir dua tahun beroperasi, Packet One Network (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) menyasarkan untuk mengeluarkan netbook pertamanya pada separuh kedua tahun ini.

Netbook berkenaan akan dilengkapkan dengan pakej WiMax 2.3 Ghz.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai berkata, pihaknya kini sudah berbincang dengan beberapa syarikat pengeluar peralatan tulen (DMO) di Taiwan mengenai netbook tersebut.

Jelas beliau, harga netbook berkenaan juga dijangka kompetitif dan menarik.

‘’Kami yakin netbook yang bakal dikeluarkan menarik perhatian para pelanggan di seluruh Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan dilengkapkan dengan pakej WiMax 2.3 Ghz,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat mengenai Hala Tuju PI 2010 di sini hari ini.

P1 merupakan anak syarikat Green Packet Bhd., syarikat telekomunikasi WiMAX pertama Malaysia dengan rangkaian WiMAX paling meluas di dalam negara.

P1 turut menyasarkan untuk meningkatkan pelanggannya lebih 200,000 tahun ini berikutan pelancaran beberapa peralatan baru termasuk netbook.

Selain netbook, dua peralatan telekomunikasi yang akan dilancarkan pada tahun ini adalah modem USB capaian tinggi Shuttle dan modem dalaman VOIP WiMax Tower.

No comments:

Post a Comment