Tuesday, February 9, 2010

MAS kendali Sriwijaya Air

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

PULAU PINANG 9 Feb 2010 - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dilantik sebagai pengendali kerja-kerja pengurusan bagi Sriwijaya Air (SA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas , di sini bermula bulan ini.

Pengurus Besar Kanan MAS (Operasi Lapangan Terbang), Yusop Jaridi berkata, dengan pelantikan itu, pihaknya akan mengendalikan urusan pendaftaran dan ketibaan penumpang serta pengurusan bagasi dan kargo bagi pihak SA untuk penerbangan ke Medan.

"Pelantikan ini adalah satu penghargaan besar kepada MAS kerana diberi kepercayaan oleh SA yang merupakan pengendali penerbangan domestik ketiga terbesar di Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk tempoh dua tahun bagi pihak MAS sementara SA diwakili oleh Pengarah Komersialnya, Toto Nursatyo di sini.

Turut hadir Pengarah Allya Travel & Tours, Ahmad Fazil Hashim yang juga merupakan rakan strategik SA di Pulau Pinang dan Pengarah Urusan Kumpulan IBF International Network Sdn. Bhd., Ahmad Fazli Hashim.

Kerja-kerja pengurusan untuk SA di sini sebelum ini dikendalikan oleh anak syarikat DRB-Hicom, iaitu KL Airport Services Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Toto memberitahu, beliau percaya MAS mampu memberikan perkhidmatan pengurusan lapangan terbang berkualiti kepada penumpang SA.

Menurutnya, MAS cukup dikenali di peringkat antarabangsa menerusi perkhidmatan pengurusan bertaraf dunia, sekali gus diyakini dapat melonjakkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan SA di sini.

''Dengan perkembangan ini, SA yakin jumlah penumpang bagi penerbangan dari Pulau Pinang ke Medan dijangka meningkat sehingga 12,000 orang pada tahun lalu.

''Selain itu, penambahan dua penerbangan dari sini ke Medan yang dijangka bermula pada April ini berbanding hanya satu penerbangan sekarang turut menyumbang kepada peningkatan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Toto menjelaskan, SA juga merancang untuk membuka satu lagi laluan baru iaitu dari Johor Bahru ke Surabaya menjelang April ini selain laluan Kuala Lumpur-Surabaya yang bakal menyusul dua bulan kemudian.

No comments:

Post a Comment