Tuesday, February 16, 2010

KFCH mahu tingkat bekalan ayam (16/2/10)

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH) merancang menambah penternak ayam kontraknya bagi menampung program pengembangan rangkaian restorannya.

Berikutan itu pengendali rangkaian restoran makanan segera KFC itu meminta usahawan atau bakal usahawan berminat supaya menghubungi anak syarikat KFCH, Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali, berkata di bawah program penternak ayam kontrak itu, KFCH akan membekalkan anak ayam, makanan dan khidmat nasihat berkaitan penternakan ayam.

Katanya, pengusaha hanya perlu menyediakan reban serta tenaga kerja dan apabila ayam sudah cukup matang, KFCH akan membeli ayam berkenaan pada harga yang ditetapkan dalam kontrak setelah ditolak semua kos bahan dan perkhidmatan.

“Namun, usahawan atau bakal usahawan yang berminat perlu memenuhi kriteria ditetapkan antaranya, mempunyai tanah sesuai tidak jauh dari kilang pemprosesan ayam syarikat itu serta modal kerja,” katanya.

KFCH kini mempunyai tiga kilang pemprosesan ayam, iaitu di Johor, Pelabuhan Klang dan Butterworth.

Jamaludin berkata, ketika ini KFCH mempunyai 100 penternak ayam kontrak yang membekalkan ayam bernilai RM220 juta setahun kepada syarikat itu serta rangkaian restoran lain di bawah kumpulan syarikat induknya, QSR Brands Bhd, iaitu RasaMas dan Pizza Hut, selain ayam sejuk beku di bawah jenama Ayamas.

Namun, katanya, berikutan pengembangan rangkaian restoran berkenaan, KFCH kini perlu menambah bekalan ayamnya sekitar lapan peratus setiap tahun.

Beliau berkata, bagi restoran KFC, syarikat itu merancang membuka 40 cawangan baru tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan rangkaiannya kepada 476, manakala bagi restoran RasaMas pula, lima cawangan baru akan dibuka tambahan kepada 40 yang sedia ada.

“Ketika ini penternak kontrak kami mengeluarkan kira-kira 130,000 ekor sehari. Jumlah ini dijangka tidak mencukupi apabila lebih banyak restoran baru dibuka, justeru bagi memenuhi permintaan, kami akan meminta penternak kontrak sedia ada meningkatkan kapasiti keluaran serta menambah bilangan pengusaha di bawah itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment