Thursday, February 11, 2010

Petronas bangun pengeluaran minyak Venezuela

CARACAS 11 Feb 2010 - Kerajaan Venezuela semalam menganugerahkan hak pembangunan pengeluaran minyak di lingkaran Orinoco kepada Chevron dan sebuah konsortium yang diketuai oleh sebuah syarikat Sepanyol, Repsol..

Chevron disertai oleh rakan konsortiumnya iaitu Repsol, Petronas dan ONGC dari India akan meneroka dua blok simpanan terbesar selepas tiga tahun Chavez mengumumkan tumpuan peralihan kepada operasi tenaga kebangsaan.

Penganugerahan kontrak itu merupakan yang terbesar di dalam sejarah di bawah pentadbiran Presiden Venezuela, Hugo Chavez selama 11 tahun.

Syarikat minyak yang dimiliki oleh kerajaan, Petroleos de Venezuela (PDVSA) menganggarkan blok yang bakal diterokai itu, Carabobo berpotensi mengeluarkan 1.2 bilion tong sehari dan mampu menarik pelaburan antara AS$10 bilion (RM34 bilion) hingga AS$15 bilion (RM51 bilion) yang diperlukan dari ahli-ahli negara OPEC.

Repsol akan menyertai Petronas dan tiga syarikat India lain dalam membida Carabobo 1 yang merupakan kawasan luas yang dianggarkan mampu mengeluarkan 235 bilion tong rizab minyak.

Konsortium berkenaan menawarkan PDVSA pinjaman berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.57 bilion) dan bon pada nilai yang sama.

Chevron akan meneroka Carabobo 3 bersama syarikat dari Jepun Impex dan Mitsubishi berserta firma dari Venezuela, Suelopetrol, kata Menteri Tenaga, Rafael Ramirez ketika mengumumkannya di Istana Presiden.

Konsortium yang diketuai Chevron itu menawarkan PDVSA pinjaman berbilion dolar dan akan membayar bon bernilai AS$500 juta (RM1.7 bilion).

Manakala blok dua tidak diberikan kepada sesiapa dan akan ditawarkan kepada syarikat atau syarikat-syarikat lain pada prosedur lain, kata Ramirez.

Pengeluaran awal dari blok tersebut mampu mencecah 400,000 tong sehari.

Di dalam kerja-kerja penerokaan itu, PDVSA akan menguasai 60 peratus kepentingan dalam pakatan yang diketuai oleh Repsol, sementara Repsol, Petronas dan ONGC masing-masing akan memiliki 11 peratus manakala dua syarikat India lain akan memiliki baki tujuh peratus. - AFP

No comments:

Post a Comment