Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
Projek di Bandar Enstek akan dibiayai sepenuhnya dana dari luar negara
ASCENTEUS Holdings Sdn Bhd akan membangunkan sebuah kelab desa mewah bernilai RM1.2 bilion di Bandar Enstek, Nilai secara usaha sama dengan pemaju hartanah utama India, Davanam Construction Ptv Ltd.
Pengarah Urusannya, Faizan Khan, berkata projek itu akan dibiayai sepenuhnya dana dari luar negara yang akan diperoleh daripada pasaran hutang dan ekuiti swasta.
Beliau berkata, projek di tapak seluas 80 hektar itu akan membabitkan pembangunan vila mewah berkepadatan rendah bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa sesuai dengan cita rasa golongan kelas atasan.
Katanya, ia akan dimajukan dalam tiga fasa dengan fasa pertama akan bermula menjelang suku ketiga tahun ini.
"Kawasan seluas sehingga 10 hektar akan dikhususkan untuk kelab desa itu, manakala bakinya untuk vila dan kediaman mewah.
"Kami merancang membina 40 vila dan kediaman mewah di setiap fasa dan pembangunannya dijangka siap sepenuhnya pada 2014," katanya selepas majlis memeterai perjanjian pengurusan dan penjenamaan antara Ascenteus Holdings dan Davanam Constructions Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Malaysia Davanam Constructions dengan General Hotels Management Ltd (GHM) di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Turut hadir Pengerusi TH Properties Sdn Bhd, Datuk Azizan Abd Rahman.
TH Properties, sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Haji adalah pemaju Bandar Enstek.
Perjanjian itu adalah bagi melantik GHM sebagai pengurus kelab desa berkenaan.
Perjanjian usaha sama antara Ascenteus Holdings dan Davanam Constructions bagi memajukan projek itu telah dimeterai pada Julai tahun lalu.
Faizan berkata, pihaknya yakin untuk menjual hartanah kelas mewah itu kerana hartanah jenis itu di Malaysia mendapat permintaan menggalakkan dari warga asing khususnya dari Asia Barat dan India.
Sementara itu, Ketua Eksekutif TH Properties, Zaharuddin Saidon, berkata pihaknya meletakkan sasaran menyiapkan Bandar Enstek menjelang 2020 iaitu lima tahun lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini.
Katanya, Bandar Enstek yang berkeluasan 2,046.4 hektar itu kini sudah 30 peratus dibangunkan dengan beberapa pembangunan perumahan bernilai RM150 juta seperti rumah teres dan rumah berkembar dua tingkat.
Thursday, February 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment