Thursday, February 11, 2010

MAHB kaji urus dua lagi lapangan terbang di Asia

Syarikat unjur pertumbuhan penumpang sehingga lima peratus

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) merancang mengurus satu atau dua lagi lapangan terbang di Asia menjelang akhir tahun ini.

"Kami sedang mengkaji prospek itu. Kami akan mengumumkannya sebaik ia dimuktamadkan," kata Pengarah Urusannya Tan Sri Bashir Ahmad.

Di bawah operasi luar negaranya, MAHB kini menguruskan dua lapangan terbang di India dan sebuah lagi di Turki.

Bashir berkata, MAHB mengunjurkan mencatatkan antara empat dan lima peratus pertumbuhan penumpang tahun ini daripada 8.2 peratus yang direkodkan tahun lalu.

"Saya berasakan industri ini semakin pulih sejak beberapa bulan terakhir tahun lalu dan kami yakin pemulihan itu akan diteruskan tahun ini," katanya.

Bashir berkata, empat lapangan terbang antarabangsa di Malaysia yang diuruskan MAHB memperoleh status lapangan terbang pla-tinum di bawah projek pas memasuki pesawat berkod bar Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dengan status platinum itu, MAHB kini memainkan peranan penting di Asia dalam meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang, katanya.

"Kami akan memastikan lapangan terbang lain menggunakan kod bar itu menjelang akhir tahun ini seperti yang dimandatkan IATA," katanya.

Sementara itu, MAHB akan menjadi tuan rumah 'Check-in Asia', forum pemprosesan bagasi dan penumpang bagi pemegang kepentingan industri perjalanan Asia Pasifik dari 24 hingga 24 November ini.

Acara itu dijangka menarik lebih 250 peserta dan 20 peserta pameran.

"MAHB menghargai peluang untuk menyediakan plat-form bagi peserta industri perjalanan udara di rantau ini bagi membincangkan dan memutuskan penyelesaian terbaik mungkin dalam perubahan kaedah pemprosesan bagasi dan penumpang serta sistem berpotensi yang lain," kata Bashir.

Beliau berkata, dengan proses pemeriksaan masuk menggunakan kaedah baru, forum itu akan mendapat manfaat daripada semua peserta industri. – Bernama

No comments:

Post a Comment