PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan menyusun semula rangkaian cawangan pengedaran dan bilik pamerannya di seluruh negara bagi membantunya meningkatkan jualan dan mutu perkhidmatan.
Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata langkah itu yang menjadi antara agenda utama Perodua tahun ini, adalah sejajar misi pengeluar kereta nasional itu untuk mengekalkan statusnya sebagai peneraju pasaran automotif tempatan, selain memperkemas dan menyeragamkan rangkaian cawangan pengedaran dan bilik pameran mengikut identiti korporatnya.
Beliau yang mengambil alih teraju Perodua sejak awal tahun ini berkata, kajian penilaian terhadap semua cawangan pengedaran dan bilik pameran sedang dijalankan dan ia turut meneliti sama ada Perodua perlu menambah atau mengurangkan jumlah cawangan dan bilik pameran sedia.
“Kita tengok keadaan di sesuatu pasaran itu. Jika kita kurang diwakili, kita akan tambah cawangan dan bilik pameran, tetapi jika terlebih, kita akan kurangkan atau pindahkan ke kawasan lain,” katanya.
Ketika ini, Perodua mempunyai 41 bilik pameran jualan yang dimilikinya sendiri dan 139 yang dimiliki pengedarnya, manakala bagi perkhidmatan servis, ia memiliki 46 cawangan sendiri dan 120 dimiliki oleh pengedar.
Perodua kekal sebagai peneraju sektor automotif tempatan tahun lalu dengan mencatatkan jualan 166,736 unit, mewakili 31.3 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan di pasaran tempatan sepanjang tahun lalu iaitu 536,905 unit.
Tahun lalu juga adalah tahun keempat berturut-turut sejak 2006, Perodua muncul syarikat automotif utama tempatan dari segi jualan.
Beliau berkata, Perodua yang mensasarkan jualan lebih 176,000 unit kenderaan tahun ini juga akan memperkenalkan beberapa model yang dinaikkan taraf bagi meneruskan kesinambungan permintaan terhadap model popularnya.
“Tahun ini kita tidak akan melancarkan model baru, tetapi beberapa model popular seperti Myvi dan dan Viva akan dinaikkan taraf bagi mengekalkan minat pelanggan terhadap model berkenaan,” katanya.
Tuesday, February 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment