Tuesday, February 23, 2010

Asiaspace sasar 5,000 pelanggan

KUALA LUMPUR 23 Feb 2010 - Asiaspace Wimax Sdn. Bhd. telah menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 pelanggan dalam suku pertama tahun ini dengan pelancaran amax city hari ini.

Ia juga merupakan bandar maya/virtual pertama dalam lingkungan Technology Park Malaysia (TPM) yang membolehkan akses dalam talian tanpa had kepada perkhidmatan dan kemudahan menerusi laluan internet yang selesa.

"Permintaan untuknya ada di TPM. Kami mensasarkan 162 penyewa dalam kawasan ini termasuk agensi media, penyedia kandungan, pemaju permainan dalam talian, syarikat IT dan pemaju perisian," kata Naib Presiden, Pemasaran dan Operasi, Ahmad Shah kepada pemberita selepas pelancaran amax city berkenaan.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Projek virtual itu ditubuhkan oleh Asiaspace WiMax dan memperkenalkan platform MIMOS WiWi Technology - rumusan hibrid pertama dunia yang menggabungkan teknologi WiMax (IEEE 802.16e mobile WiMax) dan WiFi.

Beliau berkata, ia dikendalikan di atas frekuensi 2.3 Gigahertz dan direka sebagai alternatif saling hubung.

Menurut beliau, ia turut menyediakan penyelesaian untuk jalur lebar bagi populasi umum (BBGP).

Beliau berkata, fasa pertama pembangunan amax city akan meliputi banyak kawasan utama dan penting di TPM, serta universiti dan kolej.

Para pengguna akan menikmati kemudahan yang disediakan dalam lingkungan zon liputan yang melebihi 700 hektar.

Ahmad berkata, Asiaspace WiMax memiliki Wimax amax, penyedia jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar yang menjaminkan perkhidmatan yang kukuh dan boleh dipercayai kepada para pengguna dalam kawasan liputan yang pada masa ini adalah 20 peratus daripada penduduk di Lembah Klang.

Asiaspace WiMax menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar berdasarkan kepada teknologi WiMax kepada pengguna komersial dan kediaman di bawah jenama amax.

No comments:

Post a Comment