Monday, February 15, 2010

CDC bangun kawasan perindustrian

KUALA LUMPUR 15 Feb 2010 - Corridor Development Corporation Bhd. (CDC) akan membangunkan sebuah kawasan perindustrian bercampur seluas 20 hektar (50 ekar) di Sungai Rambai, Jasin, Melaka, pada pertengahan tahun ini.

Projek bernilai RM180 juta itu yang akan dibangunkan secara usaha sama dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), membabitkan pembangunan kawasan perindustrian bercampur termasuk pembinaan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), jeti dan pembangunan semula Pekan Sungai Rambai.

CDC dalam kenyataan hari ini berkata, syarikatnya menerima surat kelulusan daripada kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Datuk Muhammed Kassim berkata projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri Melaka pada 18 Januari 2010 itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan daerah Jasin dan daerah-daerah yang bersempadan dengan negeri Johor, selain kemajuan negeri Melaka secara amnya.

Muhammed berkata, proses pengambilan tanah untuk projek tersebut akan diurus oleh MPJ manakala kos pembangunan projek ditanggung sepenuhnya oleh CDC.

Katanya, pembangunan kawasan Sungai Rambai ini merangkumi pembangunan perdagangan, perindustrian serta penstrukturan semula pekan Sungai Rambai yang akan dilaksanakan oleh anak syarikat CDC iaitu KNVC Corporation Sdn Bhd.

Dalam cadangan projek tersebut katanya, selain kompleks CIQ, projek itu juga melibatkan pembinaan 158 unit kedai dan pejabat, 344 unit rumah mampu milik.

CDC juga akan membangunkan 40 unit kilang teres, 48 unit kilang berkembar, 17 lot kilang dan 246 unit rumah di sekitar kawasan tersebut serta 41 unit rumah kedai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment