Monday, February 15, 2010

Pinggir bandar pilihan Gaya Irama

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
sarah.rohim@utusan.com.my



KC Ang menunjukkan pelan pembangunan Subang Central 1 di Subang , Selangor, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



SUBANG 15 Feb 2010 - Syarikat pembangunan hartanah Gaya Irama Development Sdn. Bhd. (Gaya Irama) terus memberikan tumpuan terhadap pembangunan di pinggir bandar berbanding bandar besar.

Pengurus Pembangunan Projeknya, KC Ang berkata, ia merupakan fokus utama syarikat memandangkan kawasan pinggir bandar kecil juga memerlukan pembangunan sewajarnya dalam berhadapan dengan arus kemodenan semasa.

''Pada pendapat saya, bandar kecil perlu dibangunkan kerana mempunyai potensi membantu perkembangan ekonomi negara. Kami sedang meninjau kawasan di Johor untuk projek seterusnya selepas berjaya di Selangor.

''Saya sering memikirkan cara terbaik untuk jangka panjang dengan memberikan pembangunan yang mampu dimiliki oleh masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Ang, walaupun pembangunan tersebut khusus untuk masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan, tetapi mereka tidak menolak tepi soal kualiti dan keselamatan.

''Sejak ditubuhkan pada tahun 1994, syarikat memang terkenal dengan menyediakan projek berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

''Setiap projek yang dilaksanakan syarikat adalah mengikut peraturan dan telus. Kami tidak percaya kepada 'hanky panky','' jelasnya.

Ekoran ketelusan syarikat dalam melaksanakan projek, Gaya Irama telah menerima kepercayaan daripada kerajaan negeri Selangor untuk membina Pasar Basah Subang Utama yang dijangka diserah kepada kerajaan negeri itu pada pertengahan Mac depan.

Pasar tersebut menyediakan kemudahan tempat letak kereta bertingkat dan ruang perniagaan selesa dengan ciri moden untuk memudahkan peniaga di kawasan tersebut.

''Apabila pasar tersebut siap, tiada lagi masalah penjaja di kaki-kaki lima atau di tepi jalan ia akan diberikan kepada peniaga di kawasan ini. Dengan pasar yang serba moden dan selesa ia memudahkan peniaga dan pelanggan,'' katanya.

Selain itu, dalam perkembangan terbaru mengenai projek Gaya Irama, Ang berkata, tumpuan syarikat adalah projek pembangunan Subang Central 1 di Pekan Subang, Shah Alam.

Projek itu melibatkan pembinaan 114 unit pangsapuri, 48 unit kedai dengan lebih 400 ruang letak kereta.

Ang berkata, projek pembangunan campuran kediaman dan komersial itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM45 juta.

''Subang Central 1, terletak di kawasan berkeluasan 1.58 hektar dan pada masa ini sedang dalam proses pembinaan dengan 40 peratus telah pun siap.

''Jangkaan kami projek ini akan siap sepenuhnya pada akhir November ini. Setakat ini jualan bagi projek tersebut telah mencecah 90 peratus bagi rumah kedai dan bagi pangsapuri pula adalah lebih 50 peratus,'' katanya.

Terletak di kedudukan strategik antara Shah Alam dan Petaling Jaya dengan kemudahan akses lebuh raya seperti Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).

Terdapat tiga jenis pembinaan bagi reka bentuk pangsapuri iaitu tingkat tunggal standard, duplex moden dan penthouse duplex moden.

Harga pangsapuri tersebut bermula daripada RM148,000 dengan tiga bilik tidur sehingga RM777,725 untuk penthouse.

No comments:

Post a Comment