Wednesday, February 24, 2010

Perodua mahu perluaskan pasaran eksport

RAWANG 24 Feb 2010 - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bercadang untuk memperluaskan pasaran eksport pelbagai model kenderaan kompak keluarannya ke luar negara.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh berkata, ini termasuk meluaskan lagi pasaran di negara ASEAN seperti Thailand selain meneroka pasaran baru di Pakistan dan Afrika Selatan.

"Kita bercadang meningkatkan jualan sehingga 3,000 buah bukan sahaja dalam komponen enjin tetapi juga buah diimport sepenuhnya (CBU)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kenderaan Perodua Eco-Challenge di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Rujhan Mustafa.

Tahun lepas Perodua mengeksport sebanyak 2,000 buah kenderaan.

Bagi jualan domestik, Aminar Rashid berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 176,000 buah kereta berbanding 166,000 buah pada tahun lepas.

Januari lalu, Perodua berjaya menjual 16,200 buah kereta berbanding 11,900 buah yang dijual dalam bulan yang sama tahun lepas.

Menurut Aminar Rashid, penjualan yang kukuh juga telah berjaya mempertingkatkan penguasaan pasaran kepada 33 peratus berbanding 31 peratus pada Januari tahun lepas.

"MyVi terus menjuarai jualan dan mendapat sambutan hangat orang ramai namun model Alza yang baru diperkenalkan tiga bulan lalu turut mendapat sambutan menggalakkan dan sehingga semalam, Perodua menerima tempahan sebanyak 21,500 bagi model tersebut," katanya.

Mengenai Perodua Eco-Challenge, Aminar Rashid berkata, 27 institusi telah dijemput untuk menyertai pertandingan tersebut dan hanya 12 terpilih berdasarkan kertas kerja yang diberikan.

Selain menyediakan 12 buah kereta Perodua Viva 1.0 liter manual dan automatik kepada 12 peserta terpilih, turut menyediakan RM10,000 pada setiap peserta untuk tujuan pengubahsuaian kejuruteraan dan reka bentuk.

Pertandingan Perodua Eco-Challenge kali kedua ini bakal berlangsung pada 26 Jun depan di Sirkit Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan meliputi manual dan automatik yang menawarkan hadiah pertama sebanyak RM20,000; kedua (RM10,000) dan ketiga (RM5,000) serta kategori kejuruteraan, reka bentuk dan penyertaan sebanyak RM10,000 bagi juara, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

No comments:

Post a Comment