Thursday, February 11, 2010

Eurocopter pastikan operasi simulator, MRO berjaya (12/2/10)

EUROCOPTER Malaysia akan memastikan kejayaan operasi kemudahan penyenggaraan dan baik pulih (MRO) serta simulator latihan penerbangan EC225/EC725 barunya di negara ini.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Pierre Nardelli, berkata setakat ini syarikat itu sudah melabur kira-kira RM40 juta dalam kemudahannya di Malaysia.

“Kami berharap dapat mengembangkan kegiatan kami bagi mewujudkan pusat simulator bagi Asia, khususnya bagi industri minyak dan gas,” katanya pada taklimat media mengenai helikopter terbaru syarikat itu, EC175, di Petaling Jaya, semalam.

Nardelli berkata, Eurocopter berharap dapat membuat lebih banyak pelaburan secara beransur-ansur kerana wujud banyak peluang di negara ini.

Eurocopter Malaysia yang diperbadankan pada 2002 adalah satu-satunya pengeluar helikopter yang mempunyai pusat perkhidmatan MRO menyeluruh di Malaysia.

Pada 2009, Eurocopter mencatatkan pertumbuhan pendapatan 58 peratus di Asia kepada 896 juta euro.

Nardelli berkata, perniagaan syarikat itu juga mengekalkan nilai tempahan yang stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Asia, dengan mencapai nilai 504 juta euro.

Eurocopter menyerahkan 558 helikopter awam dan tentera baru pada 2009.

Mengenai EC175, Nardelli berkata, Eurocopter yakin ia akan menetapkan standard baru bagi helikopter jarak sederhana dalam industri minyak dan gas pada masa akan datang.

EC175 yang dilancarkan pada Disember 2008, adalah helikopter terbaru kumpulan Eurocopter dalam kelas tujuh tan.

Beliau berkata, sebanyak 114 helikopter EC175 telah ditempah oleh 14 pelanggan. - Bernama

No comments:

Post a Comment