Wednesday, February 10, 2010

Vietnam negara operasi keempat AirAsia

KUALA LUMPUR 10 Feb 2010 - AirAsia Bhd. (AirAsia) membeli 30 peratus kepentingan dalam Vietjet Air pada harga VND180 bilion (RM33.450 juta) bagi mengadakan kerjasama penerbangan tambang murah di Vietnam yang akan dikenali sebagai Vietjet AirAsia.

Kementerian Pengangkutan Vietnam telah meluluskan pembelian saham tersebut, menurut AirAsia dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

Vietjet AirAsia yang masih memperincikan laluan, kekerapan dan penerbangan akan beroperasi bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Penubuhan Vietjet AirAsia, sekali gus menjadikan Vietnam sebagai negara keempat operasi syarikat tambang murah itu selepas Malaysia, Thailand dan Indonesia.

AirAsia berkata, pakatan itu bagi meluaskan kehadiran syarikat tersebut di Vietnam dan menjadikan negara berkenaan sebagai pintu baru keluar masuk dalam rantau ASEAN.

''Malah, ia mengukuhkan kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan ASEAN melalui peluasan operasi di rantau, meningkatkan rangkaian hubungan serantau dan menjadikan rantau ini sebagai juara hab pelancongan,'' katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Vietjet berkata, kelahiran Vietjet AirAsia akan menyumbang kepelbagaian dalam pasaran penerbangan di Vietnam dengan menyediakan lebih banyak pilihan untuk memenuhi pelancong di negara itu dan rantau ini,'' kata Vietjet.

AirAsia menambah, Vietjet AirAsia akan menerokai kepakaran kedua-dua syarikat tersebut bagi memastikan kejayaan operasi dan pemasaran penerbangan tambang murah itu.

Vietjet Air pula berkata, pakatan itu merupakan kombinasi seimbang bagi sistem pengurusan, kepakaran teknikal, pengalaman jangka panjang dalam industri penerbangan, kakitangan dan jenama antarabangsa AirAsia serta pengukuhan kewangan.

No comments:

Post a Comment