Tuesday, February 9, 2010

Telekom sertai projek e-pembelajaran

PUTRAJAYA 9 Feb 2010 - Telekom Smart School Sdn. Bhd. (TSS) dan Zeal Hi Tech Sdn. Bhd. telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan penyedia penyelesaian e-pembelajaran Korea Selatan, Dunet Inc, bagi televisyen protokol Internet (IPTV).

MoU Dunet-TSS menumpukan kepada kandungan e-pembelajaran IPTV serta meliputi aktiviti seperti aliran perkongsian pasaran yang berkaitan kandungan pembelajaran dan perkongsian teknologi untuk pembangunan kandungan e-pembelajaran.

Sementara itu, usaha sama Dunet-Zeal memberi tumpuan terhadap penyelesaian dan platform IPTV dan meliputi bidang seperti usaha sama untuk penyelesaian IPTV serta bersama-sama meluaskan pasaran luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corp. (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, MSC Malaysia memperakui firma Korea itu berkeupayaan untuk memperkayakan inisiatif e-pembelajaran IPTV, terutama untuk program yang bermatlamatkan pembelajaran pasca menengah dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Pengalaman ini sangat bermakna untuk MDeC ketika kami meneraju Pasukan Petugas Pembangunan Kandungan yang membantu kerajaan menjana kandungan untuk inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi," katanya pada majlis pemeteraian itu di sini hari ini.

MoU itu adalah hasil daripada keputusan tidak langsung pemeteraian MoU pada 2008 antara MDeC dan Agensi Mempromosi Industri IT Kebangsaan Korea Selatan bagi program sekolah bestari.

MoU itu ditandatangani sempena Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat yang mendorong kepada pertukaran dan deliberasi antara konsortium Malaysia dan Korea Selatan, yang akhirnya menyumbang kepada kerangka kerja projek IPTV.

Badlisham berkata, usaha sama antara kedua-dua negara itu akan menjana perolehan RM10 juta dan mewujudkan kira-kira 2,000 pekerjaan.

Sementara itu, Pengurus Kanan MDeC, Jabatan Sekolah Bestari, Dr Norrizan Razali, berkata kedua-dua pihak perlu melaksanakan pelbagai aktiviti mulai Ogos.

Dr. Norrizan berkata, pemeteraian MoU hari ini akan akan menjurus kepada pewujudan standard e-pembelajaran IPTV dan prototaip.

"Kami akan mengumumkan standard terbabit semasa Pameran Pendidikan dan Inovasi pada Oktober," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment