Wednesday, February 10, 2010

F&N Holdings edar Red Bull (10/2/10)

FRASER & Neave Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya F&N Beverages Marketing Sdn Bhd mengembangkan rangkaian produk edarannya apabila dilantik pengedar eksklusif minuman bertenaga Red Bull.

Ia semalam memeterai perjanjian bagi hak jualan dan pengedaran eksklusif minuman itu di Malaysia dengan pengimportnya, Allexcel Trading Sdn Bhd.

Ketua Eksekutif F&N Holdings, Tan Ang Meng, berkata syarikatnya menyasarkan jualan RM120 juta daripada rangkaian produk Red Bull dalam tahun pertama ini, mewakili 10 peratus daripada jualan keseluruhan F&N Beverages.



Katanya, hak pengedaran bagi tempoh lima tahun itu akan berkuat kuasa 1 April ini merangkumi semua barisan produk Red Bull yang terdapat di pasaran tempatan iaitu Red Bull Kurang Manis, Red Bull Gold (250 ml) dan Red Bull botol (150ml).

“Perkongsian strategik dengan Allexcel ini akan memperkukuh portfolio F&N Beverages selaras dengan matlamat F&N untuk menjadi syarikat minuman bertaraf dunia.

“Kami sentiasa meneroka peluang untuk meluaskan rangkaian perniagaan dengan syarikat minuman terkemuka bagi faedah bersama. Diharapkan perjanjian dengan Allexcel ini dapat dikembangkan untuk peluang lain pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Tan mewakili F&N Beverages, manakala Allexcel Trading diwakili Pengarah Serantaunya, Jyn Wee.

No comments:

Post a Comment