Wednesday, February 10, 2010

CDC bangun 30 hektar kawasan perindustrian (10/2/10)

CORRIDOR Development Corporation Bhd (CDC) akan membangunkan sebuah kawasan perindustrian bercampur di tapak seluas 20 hektar di Sungai Rambai, Jasin, Melaka pertengahan tahun ini.

Projek bernilai RM180 juta itu yang akan dibangunkannya secara usaha sama dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), membabitkan pembangunan kawasan perindustrian bercampur termasuk pembinaan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), jeti dan pembangunan semula Pekan Sungai Rambai.

Ketua Eksekutif CDC, Datuk Muhammed Kassim dalam kenyataannya semalam berkata syarikatnya sudah menerima surat kelulusan daripada kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian berkenaan.



Beliau berkata, projek yang diluluskan kerajaan negeri Melaka pada 18 Januari lalu itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan Daerah Jasin dan daerah yang bersempadan dengan negeri Johor, selain kemajuan negeri Melaka secara amnya.

Katanya, proses pengambilan tanah untuk projek itu akan diuruskan MPJ manakala kos pembangunan projek ditanggung sepenuhnya oleh CDC.

Beliau berkata, pembangunan kawasan Sungai Rambai ini merangkumi pembangunan perdagangan, perindustrian serta penstrukturan semula pekan Sungai Rambai yang akan dilaksanakan anak syarikat CDC iaitu KNVC Corporation Sdn Bhd.

Dalam cadangan projek itu, katanya selain kompleks CIQ, ia juga membabitkan pembinaan 158 unit kedai dan pejabat, 344 unit rumah mampu milik.

CDC juga akan membangunkan 40 unit kilang teres, 48 unit kilang berkembar, 17 lot kilang dan 246 unit rumah di sekitar kawasan berkenaan serta 41 unit rumah kedai.

No comments:

Post a Comment