Tuesday, February 16, 2010

MRO MAS terus berkembang

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Perniagaan penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) pesawat global MAS Aerospace Engineerings (MAE), yang melonjak sebanyak 30 peratus daripada RM325 juta pada 2007 kepada RM422 juta pada 2008, dijangka dapat mengekalkan peningkatan mendadak prestasinya dalam tahun-tahun akan datang.

MAE yang kini merupakan antara 10 penyedia terunggul perkhidmatan MRO pesawat di dunia itu menjangka dapat mencapai pendapatan dalam lingkungan RM385 juta bagi 2009 dan 2010 . MAE bersama-sama, rakan kongsinya, GMR Hyderabad International Airport Ltd (GHIAL), telah memeterai perjanjian penting dengan syarikat penerbangan India, Spice Jet dan Jet Airways (India) Ltd.

Janji niaga itu dilaksanakan melalui syarikat usaha sama, MAS-GMR Aerospace Engineering Company Ltd. (MAG).

Pengalaman MAE selama 37 tahun dalam bidang ini, serta perkhidmatannya yang berkualiti dan menjimatkan kos itu dikatakan menjadi faktor yang menyumbang kepada kejayaannya meraih kedua-dua kontrak itu.

''Pada asasnya, pengalaman MAE selama 37 tahun dalam bidang MRO itulah yang meraih kontrak Spice Jet itu bagi MAG," kata Ketua Pegawai Eksekutif (Perniagaan Penerbangan dan Aeroangkasa) GMR, Ravindran Devagunam, kepada wartawan di Chennai, baru-baru ini.

"Bukan mudah, kerana persaingan daripada beberapa syrikat yang membida bagi kontrak Spice Jet di India sangat sengit, tetapi pengalaman MAE dan perkhidmatan berkualiti yang diberikan kepada pelanggan tahun demi tahun akhirnya berjaya meraih kontrak itu," katanya.

Di bawah kontrak itu, MAG akan menyediakan perkhidmatan sokongan bagi penyenggaraan kumpulan pesawat Boeing 737 Generasi Baru Spice Jet.

Pengarah Eksekutif Jet Airways, Saroj K. Datta, juga menyebut pengalaman dan perkhidmatan berkesan MAE, serta kemudahan MRO MAG yang bakal beroperasi di Hyderabad sebagai faktor yang menyumbang kepada termeterainya janji niaga MRO selama 10 tahun antara syarikatnya dan MAG itu.

Tetapi MAE tidak mahu berpuas hati dengan apa yang telah dicapai setakat ini. Ia akan terus berusaha untuk berkembang dalam pasaran barunya, India, melalui MAG, dan pasaran lain untuk memperkukuh kedudukannya dalam perniagaan MRO global dan pengurusan angkatan pesawat.

Syarikat itu sedang berunding dengan beberapa pihak di Russia untuk menarik mereka supaya membawa pesawat mereka ke Malaysia bagi MRO, kata Pengarah Urusan MAE, Mohd Roslan Ismail.

Perkembangan perniagaan pengurusan pesawat, dengan perkhidmatan melebihi MRO biasa, yang membolehkan MAE merancang dan melaksanakan jadual penyenggaraan penuh pesawat bagi pelanggan, khususnya telah menyaksikan peningkatan luar biasa jumlah pelanggan dan pendapatan perniagaan, terutamanya dalam dua tahun kebelakangan ini, katanya.

"Kami tidak boleh terus membina hangar," katanya. Pada masa ini, kadar penggunaan hangar MAE adalah kira-kira 80 peratus.

"Atas sebab ini, MAE meningkatkan perniagaan pengurusan teknikal pesawat bersepadu (i-FTM) yang menguruskan logistik dan penyenggaraan pesawat bagi syarikat penerbangan lain.

"Perniagaan i-FTM akan menjadi bidang tumpuan utama bagi MAE pada masa akan datang," ujar beliau.

Dengan peningkatan bilangan pelanggan, termasuk syarikat penerbangan dari negara sejauh Amerika Syarikat untuk mendapatkan perkhidmatan penyenggaraan bagi pesawat masing-masing daripada MAE, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines (MAS), yang memulakan operasinya sebagai bahagian kejuruteraan MAS itu, telah berkembang dari sudut kemudahan MRO dan kapasitinya dalam tahun-tahun kebelakangan ini melalui hubungan teguh dengan rakan kongsi antarabangsa.

Hangarnya di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang kini menyediakan 28 ruang letak pesawat termasuk 10 ruang bagi pesawat badan lebar.

Rakan kongsi MAE yang pernah memenangi anugerah itu, termasuklah GE Engine Services Malaysia, Honeywell Aerospace Services, Hamilton Sundstrand Customer Support dan Pan Asia Pacific Aviation Services.

Perkongsiannya dengan GMR dan pembukaan fasa pertama kemudahan MRO berharga AS$65 juta (kira-kira RM221 juta)milik MAG di Hyderabad, India itu bakal menjadi kemudahan pertamanya di luar Malaysia.

Perkhidmatan penuh penerbangan komersial akan disediakan di kemudahan di negeri Andhra Pradesh, India.

Dengan operasinya yang dijangka bermula pada awal 2011, kemudahan yang berkemampuan menyenggara anggaran 60 hingga 80 pesawat setahun itu, dijangka juga menempatkan, antara lain, pusat latihan penerbangan dan pusat rantaian bekalan.

Ia akan menyediakan khidmat penyelenggaraan bagi pesawat badan kecil seperti pesawat Airbus A320 dan Boeing 737 generasi baru serta, lama kelamaan, pesawat badan lebar seperti A330 dan Boeing 777.

Bagi syarikat penerbangan India, kemudahan itu akan menawarkan penjimatan besar daripada penyenggaraan pesawat kerana menghantar pesawat bagi penyenggaraan di luar negara melibatkan kos yang tinggi, ujar Ravindran. - Bernama

No comments:

Post a Comment