Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my
TREVOR Swete (kiri) bertukar dokumen dengan Muhammad Sobri Osman pada majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah kilang LMA International N.V. di Kulim, Kedah semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KULIM 11 Feb 2010 - Pengeluar produk peralatan dan rawatan perubatan, LMA International N.V (LMA) dari Belanda akan melabur sebanyak RM35 juta (AS $10 juta) untuk membina kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini.
Kilang yang mengeluarkan produk tiub rawatan dan pemulihan saluran pernafasan (supraglottic airway) itu dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan.
Buat permulaan, ia dijangka menyediakan peluang kepada lebih 1,000 pekerja mahir dan separuh mahir dengan kemampuan pengeluaran kira-kira 250,000 unit sebulan.
Pengerusinya, Trevor Swete berkata, pelaburan tersebut sejajar dengan pelan strategik syarikat untuk meningkatkan kualiti produk dengan kos pengeluaran yang minimum.
"Sebelum ini, operasi LMV bergantung kepada kilang-kilang pihak ketiga. Dengan adanya kilang sendiri di KHTP dan Malaysia ini, kita yakin mampu meningkatkan lagi penguasaan pasaran bagi produk berkaitan perubatan di rantau ini.
"Malah, kita juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran produk untuk pasaran Asia pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah antara pengendali KHTP, Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) dengan LMA dekat sini, hari ini.
Hadir bersama ialah Presiden KTPC, Muhammad Sobri Osman dan Timbalan Pengerusi Kumpulan LMA, John Lim.
LMA yang mempunyai kepakaran dalam bidang produk peralatan dan rawatan perubatan terutamanya berkaitan sistem pernafasan ditubuhkan di Antilles, Belanda pada tahun 1998 dan disenaraikan di papan utama Bursa Saham Singapura pada tahun 1995.
Selain mempunyai pejabat urusan di Singapura, LMA turut menjalankan operasi di Jersey, Channel Island (Gugusan Kepulauan British); Bonn, Jerman; San Diego, Amerika Syarikat dan Melbourne, Australia.
Swete berkata, pembinaan kilang yang turut menempatkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu akan dilakukan dalam tiga fasa.
Katanya, fasa pertama dijangka bermula dalam tempoh terdekat dan siap menjelang hujung tahun ini.
"Menjelang suku pertama dan kedua kita berharap dapat mengeluarkan produk dengan kemampuan penuh kira-kira 5.5 juta unit setahun," jelasnya.
Beliau memberitahu, LMA mengambil keputusan melabur di KHTP memandangkan kawasan tersebut berupaya menawarkan kemudahan dan infrastruktur bertaraf dunia.
"Selain faktor kos yang efektif dan kemudahan logistik terbaik, KHTP berjaya menunjukkan rekod dan reputasi cemerlang memandangkan lebih 20 syarikat bertaraf multinasional menjalankan operasi di sini sejak beberapa tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sobri berkata, pemilihan LMA untuk melabur di situ berjaya membuktikan bahawa lokasi tersebut terus menjadi tumpuan syarikat-syarikat dari dalam dan luar negara.
"Sejak beroperasi pada tahun 1996, KHTP berjaya menerima kemasukan daripada 21 syarikat multinasional dengan jumlah pelaburan RM23 bilion.
Dari segi peluang kerja pula, KHTP telah menawarkan 16,000 orang pekerja meliputi pelbagai bidang seperti pembuatan cip, elektronik, kejuruteraan dan sokongan," jelasnya.
Beliau memberitahu, KTPC akan meneruskan usaha termasuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih ramai pelaburan asing (FDI) pada masa akan datang.
Thursday, February 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
tq 4 you information
ReplyDelete