Tuesday, February 9, 2010

PKNS majukan Datum Jelatek RM1.2b

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
bisnes@utusan.com.my

SHAH ALAM 9 Feb 2010. - Kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal berubah wajah menjadi bandar kosmopolitan di bawah pelaksanaan projek mega Datum Jelatek yang bakal siap dua tahun lagi.

Projek bernilai RM1.2 bilion yang terletak bersebelahan stesen aliran transit ringan (LRT) Jelatek melibatkan kerjasama PKNS dengan anak syarikat milik penuhnya, Worldwide Holdings Bhd..

Datum Jelatek melibatkan pembinaan empat bangunan setinggi 45 tingkat yang menempatkan kawasan kediaman, bangunan pejabat, pusat membeli belah dan hotel.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKNS berkata, Datum Jelatek adalah projek pertama PKNS dalam perancangan Pembangunan Semula Taman Keramat iaitu menukar kawasan hartanah yang mundur menjadi lebih moden sesuai dengan perkembangan semasa.

''Projek ini bertujuan memperbaiki keadaan di Jalan Jelatek menjadi satu kawasan hartanah yang sesuai dengan tahap kemajuan di bandar raya Kuala Lumpur.

''Kawasan itu bukan sahaja akan tetap menempatkan semula penghuni asal dari flat tersebut tetapi juga para pembeli baru untuk mendiami apartmen mewah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran awal projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Abdul Khalid menjelaskan bagi merealisasikan hasrat itu, pertemuan dengan seramai 650 penghuni di empat blok flat yang akan dirobohkan diadakan beberapa kali dan 90 peratus daripada mereka bersetuju projek itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pampasan kepada mereka terlibat hanya akan diumumkan semasa majlis memeterai perjanjian dengan pihak-pihak terlibat pada Mac ini.

Abdul Khalid berkata, setelah itu barulah projek Datum Jelatek bermula dan pembinaannya dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan mengikut fasa dan mungkin diikuti projek-projek lain dalam konteks yang sama bagi membangunkan semula hartanah milik PKNS.

Sementara itu, Othman dalam ucapannya percaya projek itu bakal memberi banyak kesan positif untuk keperluan sosial yang diperlukan oleh penduduk setempat.

Katanya, kawasan yang terletak antara sempadan Kuala Lumpur dan Selangor, Datum Jelatek bakal memberi impak baru sebagai pintu masuk berpuluh ribu pengguna untuk kedua-dua wilayah tersebut kerana selain jaringan jalan raya, kemudahan LRT dan lebuh raya yang tersedia di kawasan tersebut.

Othman berkata, projek itu juga akan memberi imej baik kepada kawasan Jelatek yang selama ini dianggap sebagai antara kawasan panas dengan kegiatan penagihan dadah serta jenayah lain di Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment