Wednesday, February 24, 2010

Mercedes-Benz tampil S-Class baru

MERCEDES-BENZ Malaysia Sdn Bhd menampilkan model generasi baru S-Class yang mengukuhkan komitmennya dalam jualan dan pengeluaran kenderaan Mercedes-Benz
di Malaysia.

Generasi baru S-Class yang dipasang di dalam negara itu didatangkan dalam tiga varian iaitu S300L, S350L dan S500L.

Bagi varian S500L, ia juga adalah kali pertama Mercedes-Benz Malaysia yang mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kereta penumpang premium tempatan, menjual kenderaan dipasang sepenuhnya di dalam negara pada harga RM1 juta.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Florian Mueller, berkata syarikat itu menjangka menjual antara 350 hingga 400 unit model yang diberi wajah baru daripada siri S-Class W221 itu tahun ini.

Syarikat itu sudah menerima 60 tempahan bagi model S-Class dan menjangkakan bakal menerima 60 unit lagi selepas dilancarkan.

“Sasaran awal kami ialah varian S300L akan menyumbang 80 peratus daripada jualan model generasi baru S-Class, 18 peratus daripada varian S350L, manakala bakinya adalah menerusi varian S500L,” katanya selepas melancarkan generasi baru S-Class Mercedes-Benz di Kuala Lumpur, semalam.

Mueller berkata, model yang dipasang sepenuhnya di kilang pengeluaran di Pekan, Pahang itu menjadi penanda aras untuk industri permotoran masa depan.

Katanya, secara tradisinya model berkenaan dikenali menerusi keselesaannya yang luar biasa, teknologi inovatif dan ciri keselamatan yang komprehensif.

“Ciri-ciri terbabit kemudian menjadi daya ikutan utama dalam industri kereta salun mewah,” katanya.

Generasi baru S-Class ditampilkan dengan pelbagai sistem elektronik pintar yang dapat membantu meningkatkan tahap perlindungan pemandu, cara pemanduan serta ciri-ciri hiburan di dalam kenderaan.

Selain itu, reka bentuk penalaan aerodinamik membolehkan model generasi baru itu mengurangkan penggunaan bahan bakar dan pelepasan karbon dioksida sehingga tujuh peratus.
Varian S300L dijual pada harga RM649,888; S350L berharga RM835,888 dan S500L dijual pada RM1 juta.

No comments:

Post a Comment