Wednesday, February 24, 2010

MAS akan lancar dua penerbangan terus Johannesburg-KL

24/02/2010 6:26pm

DUBAI 24 Feb. – Malaysia Airlines akan melancarkan penerbangan terus dua kali seminggu dari bandar raya Afrika Selatan, Johannesburg ke Kuala Lumpur mulai 30 Mac ini, menjadikan jumlah penerbangan berjadual perjalanan itu kepada empat kali seminggu.

Dua penerbangan pada Selasa dan Jumaat itu merupakan tambahan kepada penerbangan sedia ada yang beroperasi Isnin dan Khamis.

Pengurus kawasan Afrika Selatan dan Tengah Malaysia Airlines, Yusnodjarwadi Said berkata, syarikat penerbangan itu gembira kerana dapat menawarkan lebih banyak kapasiti ke ibu negara Malaysia dari Johannesburg.

"Permintaan penumpang menunjukkan peningkatan bagi sektor Johannesburg-Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lepas disebabkan tambang yang amat kompetitif yang kami tawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini menunjukkan permintaan yang baik bagi penerbangan Malaysia Airlines memandangkan kami juga menawarkan banyak faedah tanpa tambahan bayaran seperti elaun bagasi 20 kilogram, tempat duduk khusus dan makanan.”

Penerbangan baru itu akan berlepas dari Johannesburg pada pukul 1.40 petang, tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu tempatan) hari berikutnya.

Penerbangan dari Kuala Lumpur pada Selasa, Rabu, Jumaat dan Ahad akan berlepas pada 1.20 pagi dan tiba di Johannesburg pada hari yang sama pada 6 pagi. – Bernama

No comments:

Post a Comment