Monday, March 22, 2010

50 stokis eksklusif komponen Proton

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/03/23
Syarikat rancang buka 13 premis jual alat ganti tulen di setiap bandar utama

PROTON Edar Sdn Bhd, menyasarkan membuka 50 stokis eksklusif menjual komponen dan alat ganti tulen Proton di seluruh Malaysia menjelang 2013.

Menjelang akhir tahun ini, syarikat itu merancang membuka 13 premis itu di setiap bandar utama, bermula dengan tiga di Lembah Klang.

Ketua Eksekutifnya, Mohamad Shukor Ibrahim, berkata pembukaan stokis itu adalah sebahagian proses penjenamaan semula Proton sejajar matlamatnya untuk memberikan perkhidmatan lebih memuaskan kepada pelanggan. Pembukaan premis ini dapat menghilangkan kekeliruan pengguna mengenai kemungkinan mereka telah membeli alat ganti palsu yang dijual pada harga yang sama dengan peralatan tulen, katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan stokis eksklusif menjual komponen dan alat ganti tulen Proton pertama milik AME Auto Parts (M) Sdn Bhd di Petaling Jaya, semalam.

Mohamad Shukor berkata, selain pembukaan premis di Petaling Jaya itu, dua lagi premis di Lembah Klang yang akan dibuka ialah di Segambut dan Gombak.

Beliau berkata, kos pengubahsuaian bagi pembukaan premis berkenaan yang didatangkan dengan imej baru lebih menarik dan moden adalah kira-kira RM100,000.

Proton Edar telah mengambil langkah berani dalam perkara ini bagi memberikan imej baru kepada kedai milik pengedar alat ganti tulen Proton bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, katanya.

No comments:

Post a Comment