Wednesday, March 3, 2010

F&N sasar susu tongkat ali tingkatkan pasaran

NAZURA Jalil bersama jaguh-jaguh bina badan pada majlis pelancaran susu pekat manis terbaru, F&N eXtra di Restoran Subak, Bukit Lanjan, Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 3 Mac 2010 - F&N Dairies (M) Sdn. Bhd. (F&N) menjangkakan penguasaan pasaran segmen susu pekat manisnya meningkat kepada 65 peratus bagi tempoh setahun menerusi pengenalan produk susu pekat manis terbaru F&N eXtra.

Pengurus Pembangunan Saluran Pemasarannya, Nazura Jalil berkata, sehingga kini, F&N Dairies menguasai 63 peratus pasaran produk tersebut yang bernilai kira-kira RM1 bilion.

Menurut beliau, sasaran itu mampu dicapai berikutan pasaran susu pekat manis di Malaysia sangat tepu.

"Ini kerana, bagi setiap lima keluarga, empat daripadanya memiliki produk susu pekat manis di rumah," katanya selepas melancarkan F&N eXtra yang mengandungi tongkat ali dan ginseng, di sini hari ini.

Nazura juga berkata, pihaknya mengunjurkan jualan sebanyak RM40 juta untuk produk pekat manis terbarunya, tahun ini.

"Kami telah membelanjakan RM2 juta untuk pemasaran produk ini yang menjanjikan rasa lebih sedap ekoran bahan tambahan tongkat ali dan ginseng.

"Dua herba popular itu semakin digemari di pelosok dunia dan gabungan kedua-dua produk menepati cita rasa dan gaya hidup masyarakat di negara ini," katanya.

Tambahnya, pihaknya telah mengambil masa selama dua tahun dalam penyelidikan bagi membangunkan 26 prototaip untuk menghasilkan rangkaian terbaru susu pekat manis berkenaan.

Katanya, setiap tahun, F&N Dairies memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf kemudahan kilangnya dan RM5 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Maklum balas pengguna mendapati produk ini lebih sedap dan kos efektif. Segelas minuman eXtra adalah lebih ekonomi untuk disediakan berbanding minuman pra campur 'tiga-dalam-satu'," ujarnya.

F&N eXtra kini boleh didapati di semua rangkaian runcit utama di Semenanjung, dan akan berada di pasaran Sabah dan Sarawak pada hujung bulan ini.

F&N eXtra dijual pada harga RM3.30 di Semenanjung manakala RM3.40 di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment