Sunday, March 28, 2010

JDK sasar tiga tender projek baru

Oleh KHAIRUDDIN MOHD AMIN
bisnes@utusan.com.my

PETALING JAYA 28 Mac 2010 - Prestasi baik bukan sahaja dapat meningkatkan imej sesebuah syarikat tetapi juga meyakinkan pihak lain untuk menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih akrab pada masa depan.

Hakikat itu terbukti apabila Pembinaan JDK Sdn. Bhd. (JDK) mendapat pakej kedua Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar bernilai RM40 juta daripada MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. setelah berjaya memperoleh pakej pertama berjumlah RM50 juta.

Malah, dengan pengalaman mengendalikan projek yang diberikan, Pembinaan JDK kini semakin berani mengintai peluang perniagaan lain dengan menyertai beberapa tender di Johor dan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Pembinaan JDK, Rasdan Rahmat berkata, kontrak yang diperoleh daripada MMC-Gamuda itu membabitkan pembinaan sembilan jambatan antara Parit Buntar dan Kemunting di Perak.

''Pada awalnya, kami cuma dapat satu pakej bernilai RM50 juta tetapi kerana prestasi yang ditunjukkan baik, kami diberikan pakej kedua bernilai RM40 juta.

''Kini projek tersebut 55 peratus siap berbanding jangkaan awal sebanyak 50 peratus,'' katanya sambil menjelaskan 'prestasi yang baik' itu bermakna kerja berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal tanpa mengorbankan kualiti.

Syarikat bumiputera yang diperbadankan pada 1994 kini beroperasi dengan mempunyai 20 kakitangan termasuk enam jurutera selain menggajikan kira-kira 80 pekerja sementara.

Sebelum ini, Pembinaan JDK mendapat kontrak untuk membina jambatan kereta api di Plentong, Johor selain mengendalikan kerja-kerja membaik pulih landasan kereta api sepanjang 24 kilometer di Singapura.

Ia membabitkan pertukaran penyangga landasan (sleeper) daripada kayu kepada konkrit dan batu kerikil untuk menampung berat landasan (ballast).

Ditanya bagaimana Pembinaaan JDK berjaya mendapat kontrak MMC-Gamuda, Rasdan percaya mungkin syarikat itu aktif dalam kerja-kerja pembinaan landasan, sekali gus memungkinkan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) mengesyorkan namanya kepada syarikat usahasama tersebut.

''Kita dijemput untuk mengemukakan tender beberapa projek. Bagi projek ini terdapat antara lapan hingga 10 syarikat yang mengemukakan tender dan selepas dua atau atau tiga rundingan baru dapat,'' katanya.

Menurut beliau, menerusi projek tersebut, pihaknya mempelajari tentang kawalan kualiti, pengurusan keselamatan pada tahap piawaian yang tinggi mampu dimanfaatkan pada masa depan bagi mendapatkan projek lain.

Rasdan berpendapat, sektor pengangkutan kereta api menawarkan peluang perniagaan yang besar pada masa depan menerusi segmen penyelenggaraan yang berterusan.

''Sebagai contoh, paling lama landasan digunakan adalah 15 tahun dan bagi landasan yang melencong ia perlu diganti lebih awal daripada itu selain kerja-kerja menaik taraf yang akan menawarkan potensi perniagaan yang besar,'' jelasnya.

Tambah beliau, melalui PLBE, bukan sahaja Pembinaan JDK mendapat faedah namun rantaian manfaatnya adalah luas apabila kontraktor kecil, pembekal peralatan bersaiz kecil serta penduduk setempat turut terima tempias limpahan ekonomi.

Ditanya mengenai rancangan syarikat, Rasdan berkata, pada masa ini pihaknya telah mengemukakan tender untuk beberapa projek besar seperti di Iskandar Malaysia dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

''Bagi Jambatan Kedua Pulau Pinang, kita masuk tiga tender dan tender paling besar bernilai antara RM100 juta hingga RM150 juta,'' katanya.

Rasdan berkata, tender untuk projek Iskandar Malaysia melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, kerja-kerja sungai seperti mendalamkan sungai.

No comments:

Post a Comment