Monday, March 22, 2010

Metrojaya rancang ke Asia Tenggara

Oleh AZMAN IBRAHIM
azman.ibrahim@utusan.com.my

Ahmad Khairummuzammil Mohd. Yusoff (tengah) melihat dan bertanyakan sesuatu kepada Mohd. Hafiz Shaippuddin serta Pauline Hew Moo Yeng pada majlis penyampaian hadiah Bonanza Ang Pow Tahun Baru Cina Metrojaya di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 22 Mac 2010 - Gedung membeli belah, Metrojaya Department Store Sdn. Bhd. (Metrojaya) merancang untuk meluaskan empayar perniagaannya ke Asia Tenggara dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Perancangan itu sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia dan proses rasionalisasi serta gabungan kedai dan gedung syarikat bermula pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Khairummuzammil Mohd. Yusoff berkata, Metrojaya mampu mengembangkan perniagaan di rantau ini menerusi potensi keuntungan yang dijana menerusi aktivitinya.

''Walaupun kegawatan ekonomi tahun lalu, kami tetap mampu membuat keuntungan dan sentimen pelanggan tetap positif kepada gedung membeli-belah kami,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Bonanza Ang Pow Tahun Baru Cina yang dilancarkan bermula 5 hingga 13 Februari lalu di sini hari ini.

Pemenang pertandingan tersebut ialah Pauline Hew Moo Yeng dari Kuala Lumpur menerima baucer Metrojaya membeli belah bernilai RM8,888.

Manakala tempat kedua dimenangi Mohd. Hafiz Shaippuddin dari Kuala Krai, Kelantan dengan baucer bernilai RM3,888 sementara tempat ketiga dimenangi oleh Normala Bujang dari Johor yang membawa pulang baucer RM2,888.

Metrojaya yang berusia lebih 35 tahun turut menyerahkan lima baucer membeli-belah bernilai RM800 setiap satu kepada lima pemenang hadiah saguhati.

Ahmad Khairummuzammil berkata, pihaknya sedang menjalankan proses menaiktaraf sebuah daripada sembilan buah gedung membeli-belahnya di negara ini dengan kos pelaburan RM12 juta.

Katanya, gedung yang terlibat adalah BB Plaza di Bukit Bintang di sini.

''Proses menaiktaraf bermula April depan dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

''Setelah siap kerja-kerja menaiktaraf, Metrojaya di BB Plaza akan menjadi gedung membeli-belah bertaraf antarabangsa dengan menawarkan suasana persekitaran yang menarik, moden dan menawan selain pelbagai produk yang menepati cita rasa pelanggan.

''Saiz keluasan Metrojaya di BB Plaza adalah 18,580 meter persegi dan merupakan antara gedung membeli belah Metrojaya yang paling luas di negara ini,'' ujarnya.

Sehingga kini, Metrojaya mempunyai sembilan buah gedung membeli-belah termasuk sebuah di Kota Kinabalu, Sabah dan lebih 79 buah kedai khusus di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment