PETALING JAYA 31 Mac - FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) menjangka pendapatan sampingannya meningkat kira-kira 35 peratus pada tahun ini berbanding 10 hingga 15 peratus tahun lalu menerusi satu usaha pengiklanan melibatkan kesemua tujuh pesawat ATR-500 miliknya.
Pengarah Urusannya, Datuk Eddy Leong berkata, pengiklanan pesawat yang merupakan antara komponen dalam pendapatan sampingan dijangka menyumbang kira-kira 20 peratus kepada keuntungan bersih.
"Di bawah usaha pengiklanan itu, kesemua pesawat kami akan memaparkan jenama SP Setia di dalam dan di luar pesawat kempen pemasaran tajaan SP Setia Bhd. selama setahun.
"Kami memilih SP Setia kerana syarikat itu terkenal sebagai peneraju dalam idea inovatif dan kami berasa bangga mereka melihat nilai dalam penerbangan kami yang mampu membantu memasarkan hartanah mereka," katanya selepas melancarkan kempen pemasaran SP Setia dan Firefly, di sini hari ini.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri, Dr. Ng Yen Yen dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin turut hadir pada majlis pelancaran tersebut.
Leong juga berkata, pihaknya berharap dapat menerima tiga lagi pesawat pada tahun ini, menjadikan angkatan pesawatnya meningkat kepada 10 buah pesawat.
Bagaimanapun beliau berkata, rancangan tersebut belum dimuktamadkan lagi oleh syarikat induknya, Malaysian Airline System Bhd. (MAS).
"Kami mungkin menerima tiga pesawat tambahan tahun ini atau tahun depan bergantung kepada keputusan MAS kerana pembelian pesawat adalah sebagai langkah bergerak seiring dengan keadaan ekonomi semasa.
"Namun, kami berharap dapat menerima tiga pesawat baru, tahun ini kerana di bawah kapasiti berikutan pesawat yang tidak mencukupi," ujarnya.
Beliau menjelaskan, penambahan pesawat membolehkan Firefly meningkatkan perkhidmatan sedia ada mereka.
Misalnya, kata Leong, Firefly mengadakan perkhidmatan ke Pulau Pinang lapan kali sehari.
"Kami mahu menambahkan kekerapan waktu berlepas dan penerbangan termasuk, setiap jam untuk laluan Pulau Pinang, setiap dua jam (Kota Kinabalu) serta tiga atau empat penerbangan untuk Johor, Ipoh dan Singapura," kata beliau.
Wednesday, March 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment