Wednesday, March 17, 2010

Wah Seong bida kontrak RM5.3b

Oleh Azli Ayob
azliayob@nstp.com.my
2010/03/18
Syarikat mahu rebut tender industri minyak, gas di 5 negara

WAH Seong Corporation Bhd membida kontrak bernilai RM5.3 bilion bagi kerja penyaduran paip utama dalam industri minyak dan gas di Malaysia, Thailand, Vietnam, China dan Australia.
Projek yang dibidanya itu dijangka menambahkan lagi nilai kontrak kumpulan kejuruteraan prasarana bagi industri minyak dan gas itu yang setakat Februari lalu sudah pun mempunyai tempahan kontrak bernilai RM1.4 bilion. Daripada RM1.4 bilion itu, 60 peratus daripadanya adalah bagi kerja berkaitan penyaduran paip termasuk bagi projek Chevron Australia Gorgon bernilai kira-kira AS$162.9 juta (RM544 juta), manakala selebihnya bagi kontrak perkhidmatan untuk sektor cari gali dan pengeluaran minyak dan gas, prasarana dan perniagaan bahan binaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan Wah Seong, Chan Cheu Leong, berkata operasi perniagaan berasaskan minyak dan gas kumpulan akan mendapat manfaat daripada peningkatan semula kegiatan cari gali serta pengeluaran minyak dan gas pada separuh kedua tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu disumbangkan oleh pertambahan permintaan gas di Asia manakala harga minyak mentah pula semakin kukuh.

“Projek prasarana industri minyak dan gas utama yang sebelum ini berada di peringkat perancangan atau tertangguh, kini diaktifkan semula,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Wah Seong, Giancarlo Maccagno.

No comments:

Post a Comment