KUALA LUMPUR 13 Mac 2010 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) terus mengorak langkah apabila dijadual membina sebuah hotel milik pertubuhan itu bermula awal tahun depan.
Yang Dipertuanya, Prof. Datuk Syed Amin Aljeffri berkata, hotel yang akan dinamakan KLMCC International Inn itu akan dibina di atas sebidang tanah milik dewan tersebut dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM50 juta.
Katanya, pembinaan hotel bajet rendah di persimpangan Jalan Sultan dan Jalan Petaling di ibu kota itu dijangka berkembang dengan baik memandangkan kawasan tersebut merupakan tempat tumpuan pelancong.
“Ini merupakan salah satu projek terbesar dewan ini (DPMMKL). Pelan (projek) telah siap dan menunggu masa untuk diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk diluluskan.
“Pembinaannya pula dijangka mengambil masa sekitar dua tahun bermula awal tahun depan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) ke-35 di sini hari ini.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah.
Terdahulu, Ahmad Husni dalam ucapannya memberitahu, para peniaga Melayu dan bumiputera seharusnya bersikap lebih terbuka serta tidak hanya selesa untuk menjalankan perniagaan di kalangan kaum tersebut sahaja.
“Jangan memencilkan diri, kita harus bangkit dan bekerjasama serta bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini selari dengan gagasan 1Malaysia dan kita juga perlu tembusi pasaran global,’’ tegasnya.
Sementara itu, Syed Amin berkata, Malaysia merupakan pusat latihan terbaik untuk usahawan Melayu bersaing dan bekerjasama dengan peniaga kaum-kaum lain dalam membina keyakinan untuk menyertai persaingan ekonomi dunia.
Sunday, March 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment