Wednesday, March 3, 2010

Malaysia perintis projek usahawan tekno

Saeed Amidi (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Eu Hong Chew sambil diperhatikan Othman Omar di Shah Alam, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 2 Mac 2010 - PlugandPlayTechCenter.com (PnP Tech) merancang menjadikan negara ini dan bandar pintar, i-City di sini sebagai projek perintis keusahawanan teknologi di Asia.

Setakat ini, PnP Tech yang merupakan penyedia kemudahan dan pembina jaringan usahawan teknologi dan telekomunikasi berpangkalan di Amerika Syarikat sudah memasuki pasaran Malaysia dan Singapura bagi memperkenalkan konsep keusahawanan berkenaan.

Presidennya, Saeed Amidi berkata, Malaysia menawarkan potensi yang besar dalam bidang keusahawanan teknologi memandangkan pendedahan terhadap industri itu masih kurang.

Kata beliau, pihaknya akan melihat kejayaan PnP Tech di negara ini sebelum mengembangkan sayap di China, India dan Indonesia.

''Kewujudan kami di Singapura adalah lebih kepada pelaburan berbanding pembinaan jaringan keusahawanan teknologi dan telekomunikasi.

''Selepas ini, usahawan teknologi dan komunikasi di i-City akan dihubungkan melalui jaringan Lembah Silikon di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan potensi pertumbuhan perniagaan yang lebih meluas,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian perikatan antara i-City, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PnP Tech.

Hadir bagi menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif i-City Properties Sdn. Bhd., Eu Hong Chew.

Di bawah perjanjian tersebut, kerajaan negeri Selangor akan melabur sejumlah RM50 juta melalui agensi-agensinya dalam beberapa syarikat usahawan teknologi di bawah program PnP Inkubator.

I-City merupakan bandar pintar teknologi yang dimajukan oleh I-Berhad yang diasaskan oleh Datuk Lim Kim Hong.

Bandar itu seluas 72 ekar bagi pegangan bebas meliputi perbandaran komersial bersepadu bernilai RM2 bilion.

Sementara itu, Saeed berkata, setakat ini, sebanyak 288 syarikat di Lembah Silikon yang telah mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PnP Tech.

Malah, katanya, antara syarikat ternama yang sudah menjalin kerjasama dengan PnP Tech adalah Sun, Yahoo, Microsoft, SAP, Nokia, Ebay and Google.

No comments:

Post a Comment