Friday, March 26, 2010

PCCW buka pusat rangkaian di KL

KUALA LUMPUR 26 Mac 2010 - PCCW Global, anak syarikat pembekal telekomunikasi di Hong Kong, PCCW Ltd., hari ini mengumumkan pembukaan Pusat Rangkaian atau Point of Presence (PoP) yang baru di pusat data Telekom Malaysia Bhd. (TM) di Kuala Lumpur.

Dengan penubuhan PoP baru itu, PCCW Global dan TM akan dapat menyediakan liputan yang dipertingkatkan dan pelbagai pilihan penawaran yang lebih banyak untuk pelanggan-pelanggan mereka di Malaysia.

Melalui PoP ini, PCCW Global akan dapat menyediakan portfolio penyelesaian komunikasi global bersepadu untuk pelanggan-pelanggan dengan kewujudannya di Malaysia.

Pada masa yang sama, TM juga akan menawarkan perkhidmatan dan penyelesaiannya menerusi rangkaian PCCW Global.

Naib Presiden Eksekutif Global TM, Rozaimy Abdul Rahman berkata: "Kami amat gembira kerana melalui usaha sama ini, TM dan PCCW Global akan bersama-sama berganding bahu untuk memberikan penyelesaian dan perkhidmatan telekomunikasi yang menyeluruh bagi memenuhi permintaan daripada segmen korporat dan enterpris yang kian meningkat.

''Usaha sama ini juga bakal memacu segmen korporat dan enterpris, khususnya dalam memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan penyelesaian rangkaian global yang fleksibel, mudah diselaraskan dan termaju."

Katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, Rozaimy menambah, usaha sama strategik ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua syarikat sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian dan komunikasi pilihan di rantau ini.

''TM akan meneruskan usaha kami untuk sentiasa berada di hadapan dengan memberikan sambungan dan perkhidmatan antarabangsa yang terbaik menerusi kerjasama strategik dengan rakan-rakan kongsi kami.

''Dalam usaha kami untuk mencapai pertumbuhan masa depan yang berkekalan, kami akan terus menjalinkan hubungan perniagaan strategik dengan rakan-rakan kongsi kami bagi meluaskan lagi penawaran kami dan membina kedudukan dalam pasaran sebagai satu jenama global," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCCW Global, Marc Halbfinger berkata, pihaknya komited untuk melabur dalam kepelbagaian rangkaian di rantau Asia dan ini dapat dilihat dengan tertubuhnya satu lagi PoP baru di Malaysia.

''Tahun lepas, kami telah melancarkan Intra Asia Cable System (IACS), sistem kabel dasar laut fiber optik terus, pantas dan menyeluruh di rantau ini yang menghubungkan PoP utama di Hong Kong, Tokyo dan Singapura dengan cabang capaian hingga ke Filipina dan Vietnam,'' katanya.

IACS telah direka untuk mengelak kawasan-kawasan berpotensi mengalami bencana alam di rantau Asia Pasifik.

Nilai usaha ini terbukti apabila mereka dapat mengubah laluan trafik di IACS menyambung semula perkhidmatan dalam tempoh satu masa yang singkat berikutan kerosakan kabel serius yang disebabkan oleh Taufan Morakot dan gempa bumi di Taiwan.

''Reka bentuk tahan lasak rangkaian kami, digabungkan dengan utuhnya hubungan kami dengan TM, akan menjamin perkhidmatan dan prestasi yang berkualiti tinggi." katanya.

Pembinaan PoP itu akan meningkatkan kerjasama antara PCCW Global dan TM kerana kedua-dua syarikat ini akan menggembleng tenaga dalam mengukuhkan liputan rangkaian global masing-masing.

No comments:

Post a Comment