Sunday, March 21, 2010

Mutiara Goodyear tumpu pembangunan mewah

IMEJ projek Nadayu di Melawati, Kuala Lumpur yang melibatkan pembinaan 142 buah banglo dan kediaman berangkai.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 21 Mac 2010 - Berlandaskan pengalaman selama 30 tahun dalam industri hartanah, Mutiara Goodyear Development Bhd. (Mutiara Goodyear) kini merancang untuk melaksanakan projek kediaman mewah dan sederhana mewah.

Syarikat merancang untuk menjalankan empat projek hartanah terutamanya dalam segmen kediaman tersebut di Lembah Klang dan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutifnya, Hamidon Abdullah berkata, sebuah daripada empat projek tersebut sedang dijalankan di Melawati di sini dengan nilai pembangunan kasar RM1 bilion.

Beliau berkata, projek di Melawati di sini dinamakan Nadayu seluas 32 hektar (80 ekar) meliputi 142 banglo dan pembangunan kediaman berangkai.

Fasa pertama projek itu, jelasnya meliputi 21 buah banglo mewah dengan empat model kediaman unik rekaan yang dinamakan Awan, Bayu, Cahaya dan Daun.

Kesemua jenis model kediaman itu dibina dengan keluasan 601.7 meter persegi (6,477 kaki persegi) sehingga 771.1 meter persegi (8,301 kaki persegi).

''Setakat ini, sambutan yang kami terima daripada orang ramai amat menggalakkan, malah, Mutiara Development sudah menerima tujuh pembeli sejak projek tersebut dalam perancangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika di temui pada majlis prapelancaran projek kediaman mewah Nadayu di sini, baru-baru ini.

Harga setiap buah kediaman mewah itu adalah serendah RM5.96 juta hingga RM6.68 juta.

Projek kediaman berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2012.

Setiap buah kediaman yang dibangunkan akan dilengkapkan dengan kemudahan taman dan kolam.

Ketika ditanya mengenai jumlah bank tanah yang dimiliki Mutiara Development, Hamidon berkata, pihaknya masih mempunyai 300 hektar (750 ekar) bank tanah di Pulau Pinang.

Katanya, bank tanah di utara tanah air itu yang berpotensi untuk dibangunkan dengan kediaman mewah dan pembangunan bercampur.

Antara projek yang pernah dijalankan Mutiara Development di Lembah Klang adalah Lagenda Mas di Cheras, Kondominium Dataran Prima di Kelana Jaya, Kondominium Vila Lagenda di Selayang, Kondominium Mutiara Upper East di Ampang dan Taman Mutiara Gombak di Gombak.

Sementara di Pulau Pinang, syarikat pernah menjalankan projek perbandaran Bandar Tasek Mutiara di Seberang Prai.

No comments:

Post a Comment