Sunday, March 14, 2010

Ford Motor lancar Ford Focus TDCi2.0

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Ford Motor Company menerusi pengedar eksklusifnya di Malaysia, Sime Darby AutoConneXion melancarkan model Ford Focus TDCi 2.0 liter Duratorq Turbodiesel.

Ford Focus Diesel TDCi mengaplikasikan enjin DuraTorq Turbodiesel bersesaran 2.0 liter penuh kuasa dan menjadi kereta berenjin diesel pertama dalam segmen harganya.

Enjin itu dipadankan dengan sistem transmisi inovatif PowerShift enam kelajuan yang mampu memberikan dinamik pemanduan kotak gear manual dengan kemudahan transmisi automatik. Enjin DuraTorq Turbodiesel 2.0 liter menawarkan prestasi terbaik dalam kelasnya, selain kejuruteraan dan keselamatan.

Pengarah Serantau Asia Pasifik bagi Operasi Pertumbuhan dan Eksport Ford, David Westerman berkata, enjin DuraTorq Turbodiesel 2.0 liter mampu menghasilkan kuasa sehingga 134hp (kuasa kuda).

Tambahnya, Ford Focus TDCi turut sesuai dengan penggunaan biodiesel dan menawarkan pilihan kos lebih efisien kepada para pengguna berikutan penggunaan bahan apinya yang rendah.

Model terbaru itu turut mengalami ruang dalaman yang dipertingkatkan, penekanan diberikan untuk menambah baik kualiti material dan meningkatkan tahap keselesaan.

Tambahnya, kekuatan utama Ford Focus pastinya terletak pada aspek keselamatan yang meliputi Sistem Perlindungan Pintar Ford.

Siri varian Ford Focus serba baru itu dipasang dengan sistem pengaktifan lampu amaran kecemasan automatik pintar.

Ia memberi amaran kepada pemandu lain selepas brek kecemasan dan membelok dilakukan.

Sebagai tambahan, ia juga dilengkapi dengan Sistem Kawalan Tarikan yang komprehensif untuk membantu mengekalkan cengkaman ketika memandu di atas permukaan yang licin dan lembut.

Harga Ford Focus baru 2.0L (5-pintu Sport) Diesel TDCi ialah RM128,888 seunit.

No comments:

Post a Comment