Sunday, March 28, 2010

Holcim mahu tingkatkan pasaran

JOHOR BAHRU 28 Mac 2010 - Syarikat simen dan konkrit, Holcim Malaysia Sdn. Bhd., telah memperkenalkan tiga produk baharu yang berteknologi tinggi dan mesra alam untuk industri pembinaan tempatan. Tiga produk yang dihasilkan menggunakan habuk arang itu adalah simen pelbagai guna (Holcim Top Standard), simen berkualiti tinggi (Holcim Ready Flow) dan simen lebih cepat membeku (Holcim Quick Cast).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, R. Mahanama mendakwa, produk terbaharu itu lebih baik berbanding simen konvensional dan simen bancuhan biasa daripada kekuatan dan bahan gunaan.

"Penggunaan campuran habuk arang menjadikan simen menjadi lebih kuat, tahan lama dan tidak mudah terjejas akibat reaksi bahan kimia.

"Faedah lain termasuk mengurangkan penggunaan dan pelepasan karbon dioksida ke udara iaitu sebanyak 200 kilogram (kg) setan simen, selain ia boleh diaplikasi mengikut pelbagai jenis pembinaan," katanya di sini baru-baru ini.

Mahanama berkata, pengenalan produk baru itu adalah sejajar dengan hasrat syarikat dari Switzerland itu mahu menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara pasaran simen terulung kerana sehingga kini Holcim telah beroperasi di 70 buah negara di seluruh dunia.

Kilangnya yang terletak di Pasir Gudang mampu mengeluarkan 600,000 tan simen dan syarikat menyasarkan peningkatan 50,000 tan lagi tahun ini atau nilai keseluruhan kira-kira RM190 juta.

Sehingga kini, Holcim telah menguasai 30 peratus pasaran simen di Johor dan sebanyak lima peratus di Semenanjung.

No comments:

Post a Comment