Monday, March 29, 2010

Tabung Haji labur RM4.8b dalam hartanah di Saudi

Oleh Kamarulzaidi Kamis dan Nor Fariza Ramlan
bhbiz@bharian.com.my
2010/03/30

Ismee IsmailKeuntungan RM1b setahun mampu imbangi kos tunai haji

LEMBAGA Tabung Haji akan menggunakan dana berjumlah kira-kira RM4.8 bilion yang diperuntukkannya untuk pelaburan dalam hartanah secara lebih agresif termasuk membeli hotel di Makkah dan Madinah serta bangunan pejabat di dalam negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail, berkata selain bertujuan mengekalkan rekod pencapaian keuntungan bersih lebih RM1 bilion setahun, langkah itu juga bagi memastikan kos mengerjakan haji kekal pada kadar yang mampu. “Dari segi peruntukan aset bagi tujuan pelaburan, 20 peratus atau RM4.8 bilion daripada saiz dana Tabung Haji yang berjumlah RM24 bilion adalah untuk dilaburkan dalam hartanah.

“Secara keseluruhannya, pelaburan dalam hartanah kini menyumbang 12 peratus kepada keuntungan kumpulan dan sumbangannya disasarkan meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami akan lebih agresif untuk melabur dalam bidang ini,” katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama pelaburan hartanah antara Tabung Haji dan Amanah Raya Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu turut dihadiri Pengarah Urusan Amanah Raya, Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh.

Bagi pelaburan di Arab Saudi, Ismee berkata, pihaknya sudah menerima banyak cadangan pelaburan, tetapi kajian terperinci perlu dibuat sebelum membuat keputusan.

Setakat ini, katanya, Tabung Haji sudah melabur lebih RM660 juta memajak dua bangunan di Makkah dan Madinah.

Ia ialah Hajar Tower, bangunan hotel lima tingkat dengan 220 bilik di Makkah yang dijangka siap bulan depan dan Movenpick, sebuah bangunan hotel di Madinah.

Mengenai kerjasama Tabung Haji dengan Amanah Raya, Ismee berkata, ia adalah bagi penubuhan sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dikenali sebagai Abraj Sdn Bhd, yang mana masing-masing memiliki 50 peratus ekuiti.

“Projek pertama Abraj adalah pembelian tiga bangunan pejabat di Cyberjaya dengan keluasan 41,806 meter persegi bernilai RM270 juta,” katanya.

No comments:

Post a Comment