Wednesday, March 31, 2010

Konsortium KIC mahu ambil alih 22 kapal

SURAPHON Meesathien (dua dari kiri) dan Timbalan Pengerusi Kumpulan KIC, Faidzan Hassan (dua dari kanan) menandatangani memorandum perjanjian penguatkuasaan kerjasama logistik dan perkapalan Malaysia-Thailand sambil diperhatikan Abdulllah Ahmad Badawi (berdiri, tengah) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir pada majlis Abdul Rashid Isa (kiri, duduk) dan Pipat Suvajanata (kanan, duduk).

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Kumpulan KIC (KIC), salah sebuah syarikat gabungan konsortium, mahu mengumpul dana amanah perkapalan berjumlah AS$200 juta (RM640 juta) dalam tempoh tiga tahun untuk mengambil alih 22 buah kapal.

Syarikat gabungan konsortium itu terdiri daripada KIC, Kumpulan Nathalin (Nathalin) dan PTT Public Company Ltd.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan KIC, Abdul Rashid Isa berkata, dana amanah itu akan mula dikumpulkan pada akhir tahun ini.

Katanya, pengambilanalihan kapal-kapal tersebut bertujuan menyokong aktiviti di Pusat Petroleum Asia (APH) di Johor dan juga di Westport, Pelabuhan Klang dekat sini.

"APH akan menjalankan operasi sepenuhnya pada Ogos tahun depan dan sekarang sudah siap 61 peratus.

"Apabila siap kelak, segala kemudahan di APH akan digunakan sepenuhnya oleh PTT Public Company Ltd.,'' katanya pada majlis memeterai memorandum perjanjian penguatkuasaan kerjasama logistik dan perkapalan Malaysia-Thailand antara Kumpulan KIC dan Kumpulan Nathalin dengan kerjasama PTT Public Co. Ltd.

Pada majlis yang sama, KIC turut mengumumkan pengambilalihan dua kapal pengangkut minyak mentah terbesar (VLCC) dengan nilai AS$40 juta (RM128 juta) iaitu Sri Qadriah 1 dan Sri Qadriah II.

Hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Nathalin, Suraphon Meesathien dan Naib Presiden PTT Co. Public Co. Ltd., Pipat Suvajanata.

Tetamu kenamaan yang turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika ditanya tentang pengambilalihan dua buah kapal VLCC, Abdul Rashid berkata, melalui dua buah VLCC tersebut, jumlah keseluruhan kapasiti penyimpanan minyak mentah KIC kini meningkat kepada 900,000 meter padu, menjadikannya pengendali terminal minyak persendirian terbesar di Malaysia.

No comments:

Post a Comment