Thursday, March 4, 2010

Takaful Malaysia wujudkan APF bantu persaraan agen

Awang Adek Hussin menyempurnakan gimik pelancaran sambil diperhatikan Mohamed Hassan Md Kamil (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Regional Retail Takaful Malaysia, Wan Azman Wan Mamat pada Majlis Pelancaran APF di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 4 Mac 2010 - Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) menjadi syarikat insurans Islam pertama (takaful) mewujudkan Kumpulan Simpanan Wang Agensi (APF) bagi membantu agen-agen mereka pada waktu persaraan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamed Hassan Md. Kamil berkata, pelancaran APF itu adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan memperkenalkan Skim Persaraan 1Malaysia untuk dua juta usahawan.

''APF adalah skim persaraan disediakan untuk agen-agen syarikat yang mencarum dalam akaun persaraan khas dan unik sebagai dana tambahan untuk mereka menikmati kehidupan selesa di masa hadapan.

''Takaful Malaysia sebagai peneraju dalam industri takaful dengan memperkenalkan skim tersebut dan ia juga merupakan salah satu cara kami untuk mengembangkan jumlah agensi Takaful Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran APF, Tiga Produk Terbaru serta Struktur Agensi Tiga Peringkat di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

APF akan dilaksanakan dengan Takaful Malaysia memperuntukkan manfaat tambahan ke dalam akaun APF.

Di bawah APF, sumbangan tahunan agen adalah sebanyak satu peratus daripada jumlah pendapatan produk baru atau sumbangan pendapatan produk Takaful Keluarga yang diperbaharui manakala pengurus kumpulan atau unit APF akan menyuntik 0.25 peratus jumlah keseluruhan pendapatan.

Pada usia 55 atau selepas 10 tahun perkhidmatan, agen mereka boleh memilih untuk menerima APF dalam bentuk penuh atau kekal dengan Takaful Malaysia dan diambil balik pada waktu lain.

Sementara itu, Hassan berkata, Takaful Malaysia menyasarkan untuk mempunyai agenagennya kepada 1,500 agen menjelang akhir tahun ini berbanding 250 pada masa ini.

''Untuk menggalakkan peningkatan potensi agen, syarikat akan memastikan mereka turut dilengkapi dengan latihan jualan kreatif serta teknologi terkini.

''Dengan kemudahan portal laman web yang bakal diperkenalkan mereka mempunyai akses kepada portfolio agensi mereka dan ini akan membantu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka,'' jelasnya.

Selain itu, Takaful Malaysia juga melancarkan tiga produk baru pada hari ini iaitu Takaful myInvest, Takaful myGraduan dan Takaful myGemilang yang dibuat khas kepada remaja, ibu bapa dan pesara.

Hassan berkata, Takaful Malaysia yakin dapat menerima sumbangan tunai RM20 juta bagi tahun pertama (FYCC) menjelang Disember ini melalui pelancaran tiga produk terbaru tersebut.

''Takaful myInvest merupakan produk berkaitan pelaburan bersesuaian dengan remaja, Takaful myGraduan pula adalah pelan pembiayaan pengajian tinggi manakala Takaful myGemilang adalah penyelesaian persaraan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment