KUALA LUMPUR 25 Mac 2010 - Habib Jewels Sdn. Bhd. (Habib Jewels) tidak bercadang membuka cawangannya di luar negara tetapi sebaliknya kekal menjadikan Malaysia sebagai pasaran utama.
Pengarah Urusannya, Datuk Meer Sadik Habib (gambar) berkata, meskipun jenama barangan kemas Habib Jewels mula bertapak kukuh di luar negara tetapi pasaran tempatan diberikan tumpuan kerana permintaannya tinggi.
''Ini disebabkan harga barangan kemas di negara ini masih lagi kompetitif dibandingkan dengan negara asing, ditambah pula tiada cukai dikenakan,'' katanya.
Beliau berkata ketika ditemui sempena pelancaran Pesta Bulan Berlian 2010 Habib dan pembukaan cawangan Habib Jewel ke-21 di Mid Valley di sini hari ini.
Meskipun begitu, menurutnya, Habib Jewels mempunyai strategi tersendiri untuk mempromosi dan memasarkan jenama tersebut di pasaran luar sedia ada.
Habib Jewels yang berusia 50 tahun kini mempunyai pasaran kukuh di Singapura, India, Hong Kong, Eropah dan Timur Tengah.
Sejajar dengan usia setengah abad itu, Meer Sadik berkata, peluasan operasi bukan lagi menjadi tumpuan Habib Jewels tetapi pendidikan mengenai produk yang dijual iaitu emas dan berlian menjadi tumpuannya.
Jelas beliau, pendekatan itu diambil untuk memastikan para peminat barangan emas dan berlian di Malaysia mengetahui nilai barangan tersebut, seterusnya ia akan memberi kelebihan kepada Habib Jewels.
''Saya berani menyatakan kami memiliki koleksi emas dan berlian terbaik di pasaran dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pelanggan setia Habib Jewels mengetahui nilai barangan tersebut serta menjadikan jenama kami sebagai pilihan tetap mereka,'' ujarnya.
Menurutnya, lagipun aliran pembelian barangan kemas di Malaysia bukan sekadar untuk dijadikan perhiasan atau koleksi, sebaliknya lebih kepada pelaburan.
Justeru, Habib Jewels mahu memastikan setiap pelaburan yang dibuat oleh pelanggannya memberi keuntungan jangka panjang.
Beliau berkata, biarpun persaingan dalam industri itu semakin sengit namun Habib Jewels masih mampu menguasai 10 peratus pasaran.
Meer Sadik menambah, syarikat itu hanya bercadang membuka dua buah lagi cawangan pada tahun ini termasuk sebuah di Lembah Klang dengan pelaburan bagi setiap cawangan menelan pelaburan sebanyak RM10 juta, bergantung kepada lokasi.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan untuk mengaut jualan sebanyak RM30 juta melalui penganjuran Pesta Bulan Berlian pada 26 Mac hingga 2 Mei ini.
Serentak dengan pesta berkenaan, seluruh cawangan Habib Jewels akan menawarkan diskaun.
Thursday, March 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment