Monday, March 29, 2010

SP Setia beli tanah di Melbourne

KUALA LUMPUR 29 Mac - Setia International Ltd., anak syarikat milik penuh S P Setia Bhd. (SP Setia), membeli tanah seluas 46,715 kaki persegi di Melbourne dengan harga RM92.4 juta.

SP Setia dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata, Setia International bertukar kontrak jualan bersyarat secara rasmi dengan S.L.Nominees Pty. Ltd. dan Jonquil Pty. Ltd.

Katanya, cadangan pembelian itu dijangka selesai pada tahun kewangan yang berakhir 31 Oktober 2010.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Tan Sri Liew Kee Sin dalam kenyataan berasingan berkata penerokaan baharu ini sejajar dengan strategi kumpulan sejak 2007 untuk mengembangkan capaiannya di luar daripada pembangunan bandar baharu yang mana sudah sinonim dengan syarikat, untuk memasukkan pembangunan komersial bersepadu, kediaman bangunan tinggi serta pengembangan antarabangsa.

Kee Sin berkata, seiring dengan pengembangan antarabangsa, kumpulan itu juga akan terus menumpu untuk membeli simpanan tanah baharu di Malaysia bagi pertumbuhan dan pelaburan semula, memandangkan banyak peluang masih masih wujud di negara ini.

Beliau berkata, pembelian itu akan memberikan peluang berharga kepada kumpulan bagi menembusi pasaran hartanah Melbourne yang pesat, matang dan berpendapatan tinggi, bagi meningkatkan kemahiran dan profilnya sebagai pemaju hartanah antarabangsa.

No comments:

Post a Comment