Thursday, March 4, 2010

A&W sasar 100 cawangan dibuka pada 2015

KUALA LUMPUR 4 Mac 2010 - A&W Malaysia menyasarkan pembukaan 100 buah cawangan pada tahun 2015 selain memperluaskannya di Sabah dan Sarawak.

Pengurus Besar A&W Malaysia, Anuar Osman berkata, restoran tersebut sudah beroperasi selama 47 tahun dan merupakan antara yang tertua di Malaysia.

"Setakat ini, kami hanya mempunyai cawangan di semenanjung dan akan meluaskannya (ke Sabah dan Sarawak) berikutan terdapat permintaan ramai.

"Usaha akan terus disalurkan bagi memantapkan sistem perkhidmatan bersama memperluas cawangan di kawasan-kawasan yang terpilih dan strategik," katanya pada majlis pelancaran cawangan A&W yang ke-40 di Wangsa Walk Mall hari ini.

Kesempatan tersebut diambil bagi memperkenalkan menu terbaru mereka yang dipanggil Thai-Wham-Wrap sempena musim cuti sekolah yang bakal menjelang.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi KUB, Datuk Abdul Halim Abdul Samad dan Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Nazar Samad.

Abdul Halim berkata, cawangan tersebut sudah mula beroperasi sejak 30 November lalu dan telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

"Selain aspek perkhidmatan, kami juga menumpukan kepada konsep persekitaran restoran yang moden, ceria dan bersih bagi keselesaan pelanggan.

"Restoran kami juga mampu menempatkan sehingga 118 orang pelanggan dalam satu masa dan dengan itu kami akan terus berusaha dalam memberikan perkhidmatan yang baik untuk semua pihak," katanya ketika merasmikan majlis tersebut di sini hari ini.

Tambah beliau, menu terbaru tersebut direka khas dengan sajian yang berkhasiat serta mudah untuk dinikmati pelanggan pada bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment