Thursday, March 4, 2010

Tesco sasar 15 peratus jualan jenama sendiri

Orang ramai berpusu-pusu mengunjungi Pasaraya Tesco sempena pembukaannya di Bukit Indah, Johor Bahru semalam,

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 4 Mac - Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd., menyasarkan peningkatan jualan 15 peratus bagi produk jenama sendiri pada tahun ini.

Ketua Pengawai Eksekutifnya, Chris Bush berkata, unjuran sasaran itu adalah dua peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu pihaknya telah menambah lebih banyak produk jenama Tesco di cawangan pasar raya itu di seluruh negara dan setakat ini, hampir 4,000 produk jenama sendiri ditawarkan merangkumi barangan makanan dan bukan makanan.

"Produk jenama Tesco terbahagi kepada tiga jenis iaitu Tesco Value, Tesco Choice dan Tesco Import UK yang merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan syarikat.

"Produk di bawah kategori Tesco Value menawarkan harga paling murah di pasaran, manakala Tesco Choice pada harga lebih murah sehingga 40 peratus berbanding produk jenama terkenal di pasaran tempatan," katanya pada majlis pembukaan cawangan terbaru Tesco di Bukit Indah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Tesco, Tim Golding; Pengarah Wilayah Selatan, Corine Boudville; Pengarah Kawasan, Brandon Sta Maria dan Pengurus Besar Cawangan, Kumaran Supramaniam.

Menurut Bush, pasar raya itu turut memperkenalkan rangkaian pakaian jenama Tesco dikenali sebagai Florence and Fred (F&F) dengan harga yang lebih murah.

"Bagi memudahkan para pelanggan membuat pilihan, konsep baru di bahagian pakaian turut diperkenalkan dengan seluar dan baju diletakkan secara bersebelahan serta lebih banyak pilihan fesyen.

"Kita juga menjangkakan F&F mampu menyumbang sebanyak empat peratus bagi keseluruhan produk jenama sendiri pada tahun ini," katanya.

Mengenai cawangan baru kelima di Johor dan yang ke-33 di seluruh negara itu, Bush berkata, pembukaannya membuktikan komitmen Tesco untuk terus membuat pelaburan yang bersesuaian di negara ini.

Selain itu, pembukaan pasar raya baru itu turut menawarkan 400 peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar kawasan Bukit Indah.

Tesco juga yakin mampu bersaing dengan kompetitif dengan pasar raya besar sedia ada di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment