Sunday, March 28, 2010

Aeon rancang buka dua lagi cawangan Jusco

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/03/29
Syarikat labur hingga RM100 juta bagi setiap gedung

AEON Co (M) Bhd, pemilik rangkaian gedung beli-belah Jusco, merancang membuka sekurang-kurangnya dua lagi gedung berkenaan dalam tempoh dua tahun ini sejajar rancangan pengembangan operasinya di negara ini.

Pengarah Urusannya, Nagahisa Oyama, berkata syarikat menjangka melabur antara RM50 juta hingga RM100 juta bagi pembukaan setiap cawangan, bergantung kepada keluasan dan lokasi. Katanya, Aeon sudah melabur lebih RM1 bilion setakat ini bagi membuka 27 cawangan Jusco di seluruh Malaysia dan akan terus melaksanakan strategi pemasaran kukuh bagi menguasai industri berkenaan.

Beliau berkata, kehadiran jenama Jusco sejak penubuhannya lebih 25 tahun lalu memberi ruang kepada syarikat untuk terus memperkukuhkan kedudukan dalam sektor peruncitan tempatan.

“Kami melihat keadaan ekonomi semakin bertambah baik, begitu juga dengan sektor peruncitan. Justeru, kami terus komited melabur di Malaysia dengan membuka sekurang-kurangnya dua cawangan baru dalam tempoh dua tahun dengan tumpuan di pantai barat Semenanjung,” katanya sambil menambah syarikat juga merancang memperluaskan operasi pasar raya MaxValu.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas majlis menanam pokok di pusat beli belah Aeon Mahkota Cheras, Selangor semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Pengerusi Aeon, Datuk Abdullah Mohd Yusof.

Ketika ini, Aeon mengendalikan 27 cawangan Jusco termasuk empat cawangan MaxValu, dan bakal melancarkan cawangan terbarunya di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada akhir bulan depan yang membabitkan pelaburan kira-kira RM50 juta.

Oyama berkata, syarikat akan meneruskan strategi pemasarannya tahun ini dengan menumpukan program kad kesetiaan J-Card, yang kini mempunyai 870,000 ahli aktif menerusi pelbagai keistimewaan diskaun harga dan penebusan hadiah menarik.

Beliau berkata, Aeon setakat ini menanam lebih 370,000 pokok di semua cawangannya, sejak program `Aeon Hometown Forest’ diperkenalkan di Jusco Melaka, Air Keroh pada Disember 1991.

Katanya, program pemeliharaan alam sekitar itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya menerusi sumbangan kepada projek kebajikan yang memberi manfaat kepada komuniti.

No comments:

Post a Comment