Wednesday, March 3, 2010

Celcom sasar penguasaan di Pantai Timur

Sulaiman Ahmad (tiga dari kanan) bersalaman dengan pelanggang yang membuat pembayaran bil pada pelancaran Celcom EXclusif Partner (CXP) sambil disaksikan oleh Tuan Rosli Tuan Shaari (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Celcom Kelantan, Rooshihan Merican di Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 2 Mac 2010 - Celcom Axiata Bhd. menyasarkan akan terus menerajui pasaran perkhidmatan telekomunikasi di Pantai Timur dengan penguasaan lebih besar berbanding 53 peratus tahun lalu.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata, dengan pelbagai penambahbaikan dari segi kualiti rangkaian dan kemudahan, perolehan syarikat dijangka dapat ditingkatkan daripada RM1.04 bilion kepada RM1.2 bilion.

Katanya, pada masa yang sama, pihaknya akan berusaha menarik 1.2 juta pelanggan baru terutama prabayar dan pascabayar di samping 100,000 pelanggan jalur lebar melalui pelbagai promosi.

''Pantai Timur menyumbang RM1.04 bilion daripada keseluruhan perolehan syarikat yang berjumlah RM6.32 bilion sepanjang tahun lalu melalui 2.1 juta pelanggan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Celcom EXclusif Partner (CXP), di Kubang Kerian, dekat sini hari ini.

CXP merupakan pendekatan rakan niaga dengan para usahawan tempatan untuk mengendalikan perkhidmatan bagi pihak Celcom dalam usaha memudahkan pelanggan berurusan yang selama ini terpaksa ke pusat bandar.

Ini termasuk pembayaran bil, pendaftaran baru dan pertukaran daripada prabayar kepada pascabayar, pertukaran kad sim dan pendaftaran perkhidmatan jalur lebar.

Menurut beliau, dengan pelancaran terbaru itu, terdapat 12 CXP di seluruh Kelantan dan secara keseluruhannya meningkatkan jumlah kemudahan tersebut di Pantai Timur kepada 47 buah.

Katanya, beliau berharap perniagaan CXP di Kubang Kerian yang dimiliki Tuan Rosli Tuan Shaari akan terus berkembang seiring dengan perkembangan Celcom sebagai pengendalian perkhidmatan telekomunikasi unggul di negara ini.

Tuan Rosli yang merupakan bekas pemain bola sepak dan pernah mewakili beberapa negeri sebelum ini menyifatkan kesediaan Celcom menerimanya mengendalikan CXP sebagai satu langkahan besar dalam perniagaannya.

No comments:

Post a Comment