Monday, March 1, 2010

Takaful Ikhlas labur hartanah komersial (1/3/10)

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat MNRB Holdings Bhd, yang melabur RM97 juta bagi membeli dan mengubah suai dua menara pejabat di Bangsar South, Kuala Lumpur, bercadang untuk terus melabur dalam hartanah komersial bagi meraih pendapatan sewa yang kukuh dalam jangka panjang.

Susulan pemilikan menara pejabat berkenaan, pengendali perkhidmatan kewangan perlindungan berlandaskan Syariah itu memindahkan ibu pejabatnya dari Seksyen 19, Petaling Jaya ke bangunan berkenaan yang dikenali sebagai Ikhlas Point.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata perpindahan kumpulan itu ke Bangsar South menjadi titik permulaan kepada rancangan mempelbagaikan pendapatannya dalam bidang hartanah selain menumpukan kepada ekuiti, tunai dan bon.

“Hartanah adalah pelaburan yang baik kerana hasilnya lebih tinggi. Kami membeli bangunan itu pada harga yang amat rendah ketika kelembapan ekonomi baru-baru ini.

“Dalam tempoh setahun, harganya sudah meningkat kira-kira 26 peratus dengan unjuran pendapatan sewa yang agak tinggi,” katanya kepada media selepas majlis perasmian ibu pejabat baru kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin itu turut dihadiri Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis.

Syed Moheeb berkata, kumpulan itu bercadang membeli lebih banyak hartanah, khususnya bangunan pejabat yang boleh disewa bagi menjana aliran pendapatan lebih kukuh kepada kumpulan.

“Kumpulan menyasar pelaburan hartanah menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan portfolio pelaburan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011,” katanya.

Aset Takaful Ikhlas kini berjumlah lebih RM1.2 bilion, yang mana 60 peratus daripadanya adalah daripada Dana Keluarga, manakala bakinya adalah Dana Pemegang Saham serta Dana Risiko Am.

Sementara itu, Awang Adek berkata, sektor takaful di Malaysia yang terdiri daripada takaful keluarga dan takaful am, mencatat peningkatan 10 peratus kepada RM3.5 bilion tahun lalu berbanding RM3.2 bilion pada 2008 dan ia dijangka berkembang kepada RM5.5 bilion menjelang 2013.

“Pelanggan kini disediakan dengan pelbagai produk serta perkhidmatan takaful baru dan lebih inovatif menerusi saluran penghantaran yang lebih cekap.

“Namun, permintaan untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan lebih sofistikated memerlukan pengendali takaful memberi tindak balas segera bagi memenuhi keperluan berkenaan, justeru meningkatkan penguasaan pasaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment