Sunday, March 14, 2010

NAIM, GBPI bangun projek di Libya

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Firma pembinaan, NAIM Holdings Bhd, menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Lembaga Penswastaan dan Pelaburan Libya (GBPI) untuk menghasilkan konsep bagi Solar Oasis, sebuah projek pembangunan bercampur.

Pengarah Urusan NAIM, Datuk Hasmi Hasnan berkata, projek di atas tapak seluas 100 hektar kira-kira 30 kilometer dari Pusat Bandaraya Tripoli itu dijangka direka bentuk berkonsepkan sekitar penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

"Kami ada enam bulan untuk menghasilkan konsep itu dan akan mengambil bakat terbaik di dunia untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita pada upacara menandatangani MoU itu di sini.

Projek Solar Oasis merangkumi sebuah pusat pameran, pusat persidangan, bengkel, pusat penyelidikan, padang rekreasi/golf, rumah kelab, hotel dan rumah tetamu, rumah sebuah dan pangsapuri, dua aliran pengangkutan dengan aplikasi suria, taman awam, restoran dan pusat perniagaan.

Pengerusi GBPI, Dr Gamal Lamushe berkata, projek itu dijangka menelan kos lebih AS$3.5 bilion (RM12.8 bilion), tertakluk kepada perincian kajian kemungkinan.

Ia akan mengambil masa selama empat hingga lima tahun untuk disiapkan dan dijangka menarik banyak pelabur berikutan tema tenaga boleh diperbaharuinya.

"Banyak pelabur akan berminat kerana ini merupakan konsep pertama di Libya, malah mungkin di dunia," kata Lamushe, yang juga Menteri Penswastaan dan Pelaburan Libya.

No comments:

Post a Comment