Friday, March 26, 2010

Guocera perkukuh pasaran jubin seramik ke Vietnam

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/03/27

RICHARD (kanan) bertukar dokumen perjanjian usaha sama dengan Vu Tien, disaksikan Dr Hoang dan Quek (dua dari kanan), di Kuala Lumpur, semalam.Tubuh syarikat usaha sama babit pelaburan RM41.5 juta

GUOCERA Holdings Sdn Bhd, pengeluar jubin seramik terbesar Malaysia mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asean dengan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Vietnam membabitkan pelaburan bernilai AS$12.45 juta (RM41.5 juta).

Anak syarikat milik penuh Hong Leong Industries Bhd itu semalam memeterai perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Pembinaan dan Pembangunan Infrastruktur Vietnam (LICOGI) untuk menubuhkan sebuah syarikat liabiliti terhad, Guocera Tile Industries (Vietnam) Co Ltd. Syarikat usaha sama itu akan mengambil alih operasi sebuah kilang yang kini dikendalikan LICOGI di wilayah Dong Nai yang terbabit dalam pengeluaran jubin porselin.

LICOGI adalah badan di bawah Kementerian Pembinaan Vietnam yang mengkhusus dalam kerja pembinaan infrastruktur serta terbabit dalam beberapa projek mega di Vietnam sejak awal 1960-an.

Pengarah Urusan Guocera, Richard Ng Wee Chen, berkata syarikatnya akan memegang 97.3 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan yang kemudian bakal terbabit dalam mengeluar, memasar dan mengedar pelbagai jenis jubin di Vietnam.

Katanya, kerjasama itu akan memberikan peluang kepada Guocera untuk mengembangkan perniagaan pengeluaran jubin serta mempromosikan jenama syarikat terbabit ke pasaran Vietnam.

“Menerusi pelaburan ini, syarikat bukan hanya dapat menembusi pasaran Vietnam yang sedang berkembang, malah bakal mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar jubin utama Malaysia dan satu daripada pengeluar terbesar di dunia,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian antara Guocera dengan LICOGI di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak Guocera manakala LICOGI diwakili Ketua Pengarahnya, Vu Tien Giao.

Majlis disaksikan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Hong Leong Industries Bhd, Tan Sri Quek Leng San dan Duta Vietnam ke Malaysia, Dr Hoang Trong Lap.

Ng berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang syarikat usaha sama itu akan menambah pelaburannya dalam bidang teknologi dan kapasiti bagi meningkatkan kecekapan proses serta mutu pengeluaran produk setanding dengan standard global.

“Syarikat itu bakal menjadi pengeluar jubin utama di Vietnam yang merintis jalan kepada Guocera untuk menjadi antara pengeluar terbesar di Asia. Banyak usaha perlu dilakukan menjadikannya kenyataan,” katanya.

Mengulas rancangan pengembangan Guocera, Ng berkata kilang pengeluaran ketiga syarikat itu di Kluang, Johor yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya suku pertama 2011, bakal meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 38.3 juta meter persegi setahun.

“Ini bukan saja bakal mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengeluar terbesar jubin di Malaysia, malah menjadikan Guocera sebagai antara peserta dominan di rantau Asia,” katanya sambil menambah syarikat kini menguasai 28 peratus pasaran jubin di Malaysia.

Syarikat itu kini mempunyai dua kilang pengeluaran masing-masing di Kluang dan Meru dengan keupayaan mengeluarkan kira-kira 24 juta meter persegi jubin setahun.

Guocera mengeksport 40 peratus produk keluarannya ke kira-kira 50 negara termasuk di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Australia, Asia Barat, India, Korea, Thailand, Hong Kong, Filipina, Indonesia dan Singapura.

No comments:

Post a Comment