Friday, March 5, 2010

PPB Group labur RM600j keluarkan tepung, roti (6/3/10)

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
ual ladang tebu buka operasi di Indonesia, Vietnam, China

PPB Group Bhd, syarikat yang dikuasai 'Raja Gula', Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, bercadang menggunakan RM600 juta daripada kira-kira RM1.3 bilion hasil jualan aset perladangan dan pengeluaran tebu di Malaysia untuk mengembangkan operasi pengeluaran tepung di Indonesia, Vietnam dan China serta pengeluaran roti di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Tan Gee Sooi, berkata bakinya dipulangkan kepada pelabur dalam bentuk dividen khas berjumlah RM592.75 juta atau 50 sen sesaham.

"Kami tidak bercadang untuk kembali menceburi bidang gula di Malaysia, teta-

pi ia tidak bermakna ka-

mi tidak mahu mengembangkan segmen itu di negara lain.

"Di Malaysia, kami sudah membina sebuah kilang roti di Pulau Indah yang akan beroperasi menjelang akhir tahun ini dan kami bercadang untuk membina lebih banyak lagi kilang berkenaan di negara ini.

"Susulan itu, kami akan memperkenalkan jenama roti baru kepada pengguna Malaysia sedikit masa lagi dengan resipi kami sendiri. Jenama berkenaan masih 'rahsia' buat masa ini, biarlah ia menjadi satu kejutan," katanya pada taklimat media mengenai prestasi dan prospek syarikat berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Tan berkata, pihaknya melihat terdapat potensi besar dalam industri pengeluaran tepung di Indonesia susulan jumlah penduduknya yang ramai.

"Jumlah penggunaan tepung gandum secara perkapita di Indonesia masih rendah berbanding di Malaysia iaitu, antara tujuh hingga lapan kilogram (kg) bagi setiap orang berbanding lebih 13 kg di negara ini.

"Kilang tepung pertama kami di Indonesia telah mula beroperasi Oktober tahun lalu dengan keupayaan 1,000 tan sehari. Paling menarik, harga tepung di Indonesia tidak dikawal," katanya.
Beliau berkata, Vietnam pula adalah sasaran kedua PPB kerana kadar penggunaan bahan maka-nan itu yang masih juga rendah.

"Ketika ini kami memiliki sebuah kilang di sana dengan kapasiti pengeluaran 400 tan sehari. Walaupun tahun lalu ia kerugian ekoran penurunan nilai mata wang negara itu, kami yakin ia akan kembali menjana keuntungan berikutan kadar penggunaan pengguna masih rendah, penurunan harga gandum dan kemudahan mendapat lesen operasi baru dengan pemilikan 100 peratus," katanya.

Sementara itu, Tan menjelaskan, susulan PPB juga adalah syarikat sekutu Wilmar International Ltd yang memiliki operasi pengeluaran tepung di China, pihaknya juga meninjau peluang mengembangkan operasi di negara berkenaan.

Mengulas mengenai prospek tahun kewangan semasa, Tan berkata, kumpulan itu yakin mampu meraih keputusan lebih baik berikutan pelupusan perniagaan gulanya serta sumbangan berterusan daripada Wilmar.

Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2009, PPB mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi iaitu RM1.455 bilion, dirangsang sumbangan tinggi sebanyak RM1.21 bilion daripada sekutunya, Wilmar International.

No comments:

Post a Comment