Wednesday, March 3, 2010

Jalenas tingkat infrastruktur HSBB

Oleh YUSRI SAHAT
bisnes@utusan.com.my

KUANTAN 2 Mac 2010 - Syarikat Jalur Lebar Nasional Sdn. Bhd. (Jalenas) melabur sebanyak RM150 juta bagi meningkatkan infrastruktur gentian optik perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di bandar ini.

Pengarah Eksekutif Jalenas, Heikal Mohd. Ali berkata, projek pemasangan gentian optik yang dijangka siap pada Julai ini, akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 isi rumah yang menggunakan perkhidmatan jalur lebar di bandar ini.

Bagi tujuan itu, kata beliau, sebanyak empat syarikat multinasional telah menandatangani perjanjian dengan Jalenas manakala tiga lagi sedang dalam perbincangan.

"Kita melabur sebanyak RM150 juta bagi fasa di bandar Kuantan dahulu sebelum diperluaskan ke tempat lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah saluran kabel bawah tanah oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi syarikat High Speed Broadband Technology Sdn. Bhd. (HSBT), Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Jalenas merupakan syarikat milik penuh HSBT iaitu anak syarikat Pahang Technology Resources Sdn. Bhd. dan Bumiraya Resources Sdn. Bhd.

Heikal memberitahu, pihaknya menyasarkan capaian sebanyak 30,000 isi rumah dan pejabat dengan kelajuan antara 30 hingga 100Mbps melalui pelbagai syarikat pembekal perkhidmatan di bandar ini menjelang akhir tahun ini.

Beliau juga yakin Kuantan akan setaraf dengan Singapura dan Hong Kong yang mempunyai capaian HSBB menerusi jaringan gentian optik tidak lama lagi.

"Projek ini adalah sebahagian daripada Dasar Jalur Lebar Negara apabila kita menyokong syarikat-syarikat pembekal untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," jelasnya.

Selain penyediaan perkhidmatan kepada isi rumah, tambahnya, projek itu akan mempercepatkan lagi kemajuan ekonomi negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, Adnan berkata, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, Jalenas mempunyai tanggungjawab sosial dalam menyediakan perkhidmatan HSBB.

Jelas beliau, penubuhan Jalenas bukan bertujuan menyaingi mana-mana syarikat terutama Telekom Malaysia Bhd. sebaliknya menjadi pelengkap kepada penyediaan infrastruktur jalur lebar.

''Kita mahu memenuhi agenda kerajaan untuk mencapai penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus di seluruh negara menjelang akhir tahun ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment