Thursday, March 4, 2010

Raffles akan labur RM200 juta di Iskandar Malaysia

BEIJING 4 Mac 2010 - Raffles Education Corporation Ltd., penyedia pendidikan swasta terbesar di Asia Pasifik, merancang melabur kira-kira RM200 juta dalam tempoh lima tahun untuk menubuhkan sebuah universiti penuh di Iskandar Malaysia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Chew Hua Seng berkata, projek itu, yang akan dikenali sebagai Universiti Raffles Iskandar, akan dibangunkan mengikut beberapa peringkat.

Raffles Education, dengan kerjasama Education@Iskandar Sdn. Bhd. - sebuah anak syarikat milik penuh Iskandar Investment Bhd., kini sedang melaksanakan satu kajian kemungkinan mengenai rancangan itu, katanya selepas lawatan media ke Oriental University City di Bandaraya Langfang, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Beijing.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Wakil di Beijing Khazanah Nasional Bhd. Ben Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif Oriental University City Ltd. (OUCL) Liu Yan Wen.

Khazanah, cabang pelaburan kerajaan Malaysia, mempunyai kepentingan 60 peratus di dalam Iskandar Investment. Baru-baru ini, ia mengambil alih kepentingan 10 peratus di dalam OUCL dari Raffles Education pada harga AS$44 juta (RM150 juta).

Sebaik selesai kajian kemungkinan, pemerolehan lesen universiti, vokasional dan teknikal dan kelulusan lain, Hua Seng berkata, Raffles Education Corp dan Education@Iskandar akan mewujudkan satu syarikat usahasama di Malaysia bagi membina dan mengendalikan Raffles University Iskandar.

"Kami perlu memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Saya percaya semuanya akan dilakukan di dalam tempoh setahun dan kami akan membina secara berperingkat-peringkat, yang termasuk hostel.

"Sebaik kami mendapat kelulusan, kami berhasrat untuk memulakan pada skala kecil di kemudahan itu yang akan ditawarkan oleh Iskandar Malaysia," katanya.

Katanya, Raffles Education akan menjadi pemegang saham utama syarikat usahasama itu.

Universiti Raffles Iskandar yang dicadangkan itu akan dimajukan di atas tapak seluas 26 hektar dan akan menawarkan pelbagai program ijazah pertama yang termasuk perniagaan, teknologi, sastera dan rekabentuk, sains kesihatan, pendidikan dan pengkhususan sains sosial.

Universiti itu menyasarkan kira-kira 5,000 pelajar di dalam tempoh lima tahun pertama.

Hua Seng berkata, Raffles Education turut berharap untuk menarik para pelajar dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia mengikuti pengajian di universiti yang dicadangkan.

Raffles Education mengendalikan 33 kolej di 31 bandaraya di 11 negara.

Sementara itu, Chan berkata Raffles Education akan dapat menyumbangkan secara signifikan kepada pembangunan sektor pendidikan di Malaysia dengan menawarkan program berorientasikan industri kepada para pelajar dan membangunkan mereka menjadi ahli profesional mahir yang relevan.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment