Wednesday, March 31, 2010

DiGi tawar iPhone 3G, 3GS

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/04/01
Kemasukan dalam pasaran jana pendapatan syarikat tahun ini

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) muncul pengendali telekomunikasi terbaru menawarkan peranti pintar iPhone 3GS dan iPhone 3G dengan sasaran menembusi pasaran pengguna lebih luas.

Kemasukan DiGi dalam segmen perniagaan terbabit memberikan saingan kepada pasaran berpotensi tinggi itu susulan permintaan memberangsangkan terhadap peranti keluaran Apple di negara ini. Sebelum ini, Maxis Bhd muncul sebagai penyedia perkhidmatan tunggal bagi iPhone 3GS dan iPhone 3G yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan bagi segmen perniagaan itu.

Ketua Pemasaran DiGi, Albern Murty, berkata kemasukan dalam pasaran iPhone 3GS dan iPhone 3G tepat pada masanya kerana segmen itu menawarkan pertumbuhan tinggi kepada pendapatan syarikat tahun ini.

Katanya, segmen berkenaan akan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan DiGi pada masa depan, selain perniagaannya dalam segmen Internet jalur lebar dan 3G.

“Kami akan memenuhi keperluan pelanggan, justeru DiGi gembira membawakan iPhone kepada pelanggan di Malaysia,” katanya selepas melancarkan iPhone 3GS dan iPhone 3G dari DiGi di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemasaran Produk DiGi, Loh Keh Jian dan Ketua Internet Mudah Alih DiGi, Praveen Rajan.

Murty berkata, pihaknya yakin dapat menguruskan jualan iPhone 3GS dan iPhone 3G dengan baik susulan sambutan awal diterima syarikat menerusi tempahan awal daripada pelanggan.

Katanya, sejak pra tempahan dibuka untuk tempoh seminggu, seramai 10,000 pelanggan mendaftar untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan pada kadar menarik dan berpatutan.

“Kami akan menumpukan pasaran sasaran bagi memastikan kehendak pelanggan dipenuhi,” katanya tanpa memberikan sasaran jualan iPhone 3GS dan 3G untuk tahun ini.

Murty menambah, pelanggan berpeluang menggunakan rangkaian EDGE DiGi yang terluas di negara ini, selain rangkaian Turbo 3G yang kini meliputi kira-kira 30 peratus daripada populasi di Malaysia sejak mula dilancarkan setahun lalu.

Buat masa ini, katanya, pelanggan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu berpeluang menikmati akses segera serta sambungan Internet yang konsisten menerusi rangkaian perkhidmatan ditawarkan DiGi.

“Rancangan untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke pasaran baru di negara ini sedang giat dijalankan,” katanya.

iPhone 3GS dan iPhone 3G daripada DiGi boleh didapati di semua 28 DiGi Centre dan DiGi Specialised Store di seluruh negara bermula Sabtu ini.

DiGi menawarkan kadar bulanan berpatutan bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan bermula pada harga RM88 sebulan, manakala peranti itu boleh didapati bermula dari harga RM1,990.

Ia menawarkan tiga pakej yang boleh dilanggan untuk mendapatkan iPhone 3G 8GB, iPhone 3GS 16GB dan iPhone 3G 32GB.

No comments:

Post a Comment