Tuesday, March 30, 2010

Petronas Carigali diapung

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul.ahsan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mac 2010 - Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali), merupakan sebuah daripada dua anak syarikat Petronas yang diumumkan bakal diapungkan di Bursa Malaysia pada tahun ini.

Namun begitu, nama sebuah lagi anak syarikat belum diputuskan tetapi dipercayai salah satu daripada dua syarikat yang terlibat dalam penapisan dan juga Gas Asli Cecair (LNG).

Setakat ini, tiga anak syarikat Petronas telah disenaraikan iaitu Petronas Dagangan Bhd., Petronas Gas Bhd. dan MISC Bhd.

Menurut sumber industri, penyenaraian Petronas Carigali bukanlah baru kerana ia dijangkakan kerana operasinya yang dilihat kukuh dan berdaya maju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucaptamanya pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini hari ini berkata, dua buah syarikat Petronas akan disenaraikan pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan dua syarikat yang terbabit.

Najib berkata, langkah penyenaraian itu bertujuan mengurangkan penglibatan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti perniagaan yang mana lebih cekap sekiranya dijalankan oleh sektor swasta.

Najib pada majlis itu juga mengumumkan pelupusan saham yang ketara oleh Khazanah Nasional Bhd. dalam Tenaga Nasional Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd. dan PLUS Expressways Bhd.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Yusli Mohamed Yusoff ketika diminta mengulas mengenai penyenaraian anak syarikat Petronas itu berkata, ia merupakan berita baik kepada pasaran.

Beliau mengakui penyenaraian anak syarikat firma minyak negara itu bukan baru kerana ia telah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.

Yusli bagaimanapun, beliau tidak mengetahui nama syarikat yang bakal disenaraikan itu.

''Saya tidak tahu tetapi sejak dulu spekulasi mengenai penyenaraian anak syarikat yang dikatakan mempunyai prestasi baik itu sering diperkatakan oleh pasaran,'' tambahnya.

Beliau yang menyambut baik cadangan penyenaraian itu berkata, ia akan merancakkan pasaran tempatan selepas sedikit lembap semasa krisis ekonomi.

Yusli dalam perkembangan berasingan berkata, langkah kerajaan mengurangkan pegangan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) akan mengembalikan minat pelabur asing ke dalam bursa tempatan.

Beliau berkata, pengumuman itu memang ditunggu-tunggu oleh para pelabur asing.

''Ini adalah penantian yang lama. Sebelum ini, kita menerima banyak maklum balas dari pelabur asing yang mahukan lebih banyak saham dalam syarikat-syarikat besar, yang dikuasai oleh GLC.

''Langkah GLC melepaskan pegangan dengan ketara bukan sahaja meningkatkan jumlah kecairan tetapi mereka boleh membuat pelaburan dengan besar,'' kata beliau.

Yusli berkata, cara pelupusan itu juga akan memberi kelebihan kepada GLC untuk mempelbagaikan pelaburannya seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal meningkatkan pelaburan ke luar negara.

Beliau berkata, Bursa Malaysia menaruh harapan untuk menyaksikan apungan bebas syarikat-syarikat tersenarai meningkatkan lebih 50 peratus pada masa depan berbanding 25 peratus sekarang.

Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin. Mahani pula menjangka lebih banyak lagi anak syarikat GLC akan mengambil langkah yang sama selepas penyenaraian dua anak syarikat Petronas di Bursa Malaysia.

No comments:

Post a Comment